80 peratus mahu peraturan terhadap vape

Majoriti rakyat Malaysia menggesa kerajaan mengawal selia secara menyeluruh industri vape.
Majoriti rakyat Malaysia menggesa kerajaan mengawal selia secara menyeluruh industri vape.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majoriti rakyat Malaysia yang diwakili 80 peratus responden dalam satu tinjauan pendapat mahu kerajaan mengambil tindakan yang lebih menyeluruh untuk mengawal selia industri vape di negara ini.

Tinjauan pendapat tersebut juga menunjukkan bahawa sebanyak 76 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripada peraturan yang akan dilaksanakan itu.

Maklumat dikumpulkan daripada tinjauan Malaysian Insights & Perspectives on Vape yang dikendalikan Green Zebras, sebuah syarikat penyelidikan pasaran terkemuka di Malaysia atas permintaan Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA).

Tinjauan membabitkan saiz sampel 1,025 dewasa Malaysia dan mencerminkan persepsi individu dewasa Malaysia di seluruh negara.

Presiden MVIA, Rizani Zakaria dalam kenyataan pada Jumaat berkata, tinjauan pendapat yang dijalankan itu menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia mahukan pengawalseliaan terhadap produk vape.

Laporan rasmi daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan bahawa terdapat lebih 1 juta pengguna vape di Malaysia tetapi tiada peraturan digubal untuk mengawal selia industri, menyebabkan pengguna tiada pilihan kecuali menggunakan produk yang tidak dikawal selia.

“Laporan yang diterbitkan baru-baru ini oleh sebuah kumpulan industri tempatan mengesahkan bahawa industri vape mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan keupayaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan perniagaan dan PKS sedia ada dalam industri dan menarik pelaburan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Angka pengguna vape di Malaysia mencecah 1 juta orang.
Angka pengguna vape di Malaysia mencecah 1 juta orang.

Hakikat itu katanya, tidak boleh diabaikan dan kerajaan mesti bertindak pantas untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia produk vape.

Tinjauan tersebut juga mendapati bahawa 87 peratus responden bersetuju bahawa cukai patut dikenakan ke atas produk vape dan 74 peratus berpendapat hasil yang dikumpulkan daripada produk vape boleh dibelanjakan oleh kerajaan dalam bidang-bidang penting seperti pendidikan dan ekonomi.

“Pelaksanaan cukai eksais ke atas produk vape sejak awal tahun ini merupakan satu langkah yang tepat ke arah mengawal selia industri. Ramai juga bersetuju bahawa cukai patut dikenakan ke atas produk vape kerana hasil yang dikumpulkan boleh dimanfaatkan dengan sewajarnya.

"Bagaimanapun, struktur cukai eksais semasa tidak termasuk e-cecair vape mengandungi nikotin yang membentuk sebahagian besar daripada pasaran tempatan. Ini bermakna kutipan hasil tidak akan dimaksimumkan, dan pelaksanaan duti eksais adalah tidak berkesan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan harus meluaskan struktur cukai untuk merangkumi e-cecair vape mengandungi nikotin dan memperkenalkan peraturan jelas bagi produk ini.

"Dengan cara ini, kerajaan boleh memaksimumkan kutipan hasil dan pada masa yang sama memastikan pengguna dapat menggunakan produk yang dikawal selia di Malaysia,” kata Rizani.

Tinjauan yang bertujuan memahami persepsi rakyat Malaysia terhadap penggunaan vape, telah meminta pandangan penduduk tempatan tentang kesan ekonomi penggunaan vape dan juga pendapat mereka ke atas penggunaan vape sebagai kaedah mengurangkan mudarat daripada tembakau.