Apa salahnya PRU15 sehingga tamat tempoh

Merak Jalanan yakin rakyat tidak akan berani keluar mengundi selagi pandemik Covid-19 belum reda.
Merak Jalanan yakin rakyat tidak akan berani keluar mengundi selagi pandemik Covid-19 belum reda.
A
A
A

TAK silap Merak Jalanan, UMNO yang mempunyai kerusi terbanyak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) beberapa kali menegaskan akan menyokong kerajaan hari ini sehingga Parlimen dibubarkan.

UMNO tidak menetapkan sebarang tarikh atau tahun tertentu, maka kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ketika ini tidak akan tergugat.

Pas pula senada menyokong PN, begitu juga Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan pendirian untuk terus bersama kerajaan Persekutuan.

Banyak pihak yang mendesak Muhyiddin membubarkan Parlimen tetapi Merak Jalanan yakin Ahli Parlimen Pagoh itu tidak akan melakukannya pada masa terdekat.

Majoriti tipis bukan halangan untuk terus berkuasa kerana perkembangan semasa menyaksikan ada ahli Parlimen pembangkang yang beralih sokongan kepada Muhyiddin.

Tempoh penggal Parlimen adalah lima tahun sejak mula bersidang, bermakna Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) boleh dilanjutkan sehingga tahun 2023.

Berbaki dua tahun lagi, Merak Jalanan yakin ramai ahli Parlimen pembangkang yang akan menyokong Muhyiddin berdasarkan senario semasa.

Buat masa ini, kerajaan perlu fokus terhadap mentadbir urus negara termasuk dalam usaha memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Merak Jalanan juga yakin, rakyat tidak akan berani keluar mengundi selagi pandemik Covid-19 belum reda dengan mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri Sabah.

Masa yang terbaik untuk adakan PRU15 ialah apabila semua rakyat menerima suntikan vaksin Covid-19.

Buat masa ini biarlah kerajaan menghabiskan penggal pemerintahan mereka kerana tidak guna ada kerajaan baharu tetapi terpaksa menghadapi kesan pandemik yang lebih dahsyat!