Syabas PDRM jasamu disanjung

Sebahagian pegawai dan anggota polis daerah Sandakan melaungkan kata-kata semangat selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan pada Khamis.
Sebahagian pegawai dan anggota polis daerah Sandakan melaungkan kata-kata semangat selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan pada Khamis.
A
A
A

RAKYAT Malaysia berbangga dengan prestasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibarisi anggota profesional dan cekap membanteras aktiviti jenayah melalui tindakan komprehensif demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terjamin.

Saban tahun, PDRM sentiasa melakar kejayaan menumpaskan pelbagai sindiket jenayah termasuk rentas sempadan melibatkan pengedaran dadah, penipuan wang secara atas talian dan ancaman keganasan.

Kes indeks jenayah di Malaysia mencatat penurunan drastik selama 11 tahun dengan 212,678 kes direkodkan pada 2009, menurun kepada 84,485 kes pada 2020 iaitu purata 11,000 kes setiap tahun.

Menurut laporan laman pangkalan data global Numbeo, kadar keselamatan Malaysia meningkat daripada 39.34 peratus pada pertengahan 2019 kepada 41.45 peratus pada pertengahan 2020.

Keupayaan PDRM mengurangkan kadar jenayah menyebabkan orang awam bersedia untuk menjadi mata dan telinga polis dengan berani ke hadapan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.

Banyak kejayaan yang direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Bagi kes pengedaran dadah, JSN berjaya merampas 12 tan dadah kokain bernilai RM2.4 bilion di Pulau Pinang pada 2019 manakala pada 2020, dadah pelbagai jenis bernilai RM201.8 juta dirampas di tiga stor penyimpanan di Johor Bahru.

Kes jenayah lain turut merekodkan kejayaan masing-masing dengan perkembangan terkini dimaklumkan kepada umum secara telus.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik kejayaan itu, PDRM terpalit dengan beberapa kepincangan dalaman, selain anggota pelbagai pangkat dikesan terbabit aktiviti jenayah termasuk bersengkongkol dengan sindiket Macau Scam dan perjudian atas talian.

Turut menjadi perhatian ramai, pendedahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kewujudan kartel melibatkan pegawai-pegawai muda dalam pasukan itu.

Justeru, sambutan Hari Polis ke-214 pada tanggal 25 Mac tahun ini cukup bermakna buat anggota PDRM dan rakyat berbilang kaum yang meraikannya bersama ketika masing-masing berganding bagi mengekang penularan Covid-19.