Peluang Syahir 'tembus' kembali skuad negara

Syahir kembali ke arena takraw negara bersama KL Thunder dalam saingan STL 2020. - Gambar kecil: Abdul Talib
Syahir kembali ke arena takraw negara bersama KL Thunder dalam saingan STL 2020. - Gambar kecil: Abdul Talib
A
A
A

SKUAD sepak takraw negara menarik nafas lega apabila mendengar perkhabaran tekong berpengalaman, Mohd Syahir Rosdi sedia menyahut panggilan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Ketua jurulatih, Abdul Talib Ahmad berkata, kehadiran semula pemain berusia 25 tahun itu secara tidak langsung memberikannya lebih pilihan dalam memilih barisan pemain terbaik untuk menggalas cabaran negara.

“Alhamdulillah, saya gembira dengan perkembangan positif ini, sekurang-kurangnya ia peluang terbaik untuk Syahir meneruskan momentum cemerlangnya pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) untuk kembali menyarung jersi negara.

“Prestasi cemerlang dipamerkan Syahir pada STL lalu sememangnya melayakkan dia untuk kembali bersama skuad negara, namun harus diingat dia perlu sekali lagi membuktikan keupayaannya bersaing dengan pemain lain.

“Saya dan barisan kejurulatihan akan menilai sendiri keupayaan Syahir dalam kejohanan simulasi yang bakal berlangsung di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN), Taman Keramat pada 8 hingga 10 April depan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Mengulas usia Syahir yang berkemungkinan menyukarkannya 'menembusi' kembali skuad negara, Abdul Talib berkata, perkara berkenaan tidak menjadi masalah memandangkan pemain Kuala Lumpur (KL) Thunder itu memiliki kelebihan tersendiri.

“Jika kita lihat prestasi Syahir bersama KL Thunder dalam saingan STL, dia memperlihatkan peningkatan apabila melakukan 19 ace ketika final Champions Cup menentang Penang Black Panthers walaupun tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sebelum itu.

“Saya yakin Syahir teruja untuk kembali menyarung jersi skuad negara dan saya berharap dia akan memanfaatkan sepenuhnya peluang diberikan PSM pada kejohanan simulasi di Keramat nanti,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Semangat Syahir kembali membara