UMNO kuat jika ahli utamakan parti, pentingkan perpaduan

Shamsul Anuar Nasarah
Shamsul Anuar Nasarah
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO akan menjadi kukuh dan kuat jika ahlinya mendahulukan dan mementingkan perpaduan parti dalam apa jua tindakan yang dilakukan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, ini kerana antara faktor utama yang menentukan kekuatan UMNO adalah kesetiaan pemimpin dan ahli kepada parti.

Menurutnya, perkara itu hanya dapat direalisasikan sekiranya kesemua ahli UMNO memahami dengan baik ideologi serta prinsip perjuangan yang menjadi pegangan parti.

“Malah, ia terbukti berasaskan sejarah UMNO. Bila parti diutamakan, perpaduan kukuh, UMNO berupaya lalui apa juga cabaran dengan mudah dan berjaya.

“Kerana itu, mari kita bersama untuk terus memperkukuhkan perpaduan UMNO di semua peringkat.

“Kita mesti seia senada. Berbeza pandangan memang biasa namun sesekali jangan ianya merosakan parti yang kita sayangi ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Shamsul yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, dengan mengambil kira cabaran semasa yang dihadapi partinya, beliau berkata, UMNO tidak seharusnya tewas disebabkan kerana kelemahan sendiri.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, UMNO perlu bijak dalam membuat segala keputusan dan mengguna dan mengekalkan kekuatan parti.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, partinya itu tidak boleh bersendirian dalam berhadapan dengan politik masa kini.

“Kita mesti membinanya bersama rakan yang ikhlas, setia dan selari dengan ideologi dan prinsip perjuangan UMNO,” katanya.

UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 selama dua hari bermula pada Sabtu hingga Ahad ini.