Tangguh undi 18 hina Dewan Rakyat, Dewan Negara: MP pembangkang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Sembilan ahli Parlimen pembangkang mengecam pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) yang menangguhkan pelaksanaan Undi 18.

Dalam satu kenyataan bersama pada Khamis, mereka menyifatkan kenyataan terbaharu daripada SPR itu adalah satu penghinaan besar terhadap Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Kami mengecam sekeras-kerasnya keputusan SPR ini. Ia adalah satu penghinaan besar terhadap Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” menurut kenyataan itu.

Jelas mereka, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jemaah menterinya perlu bertanggungjawab atas kegagalan untuk melaksanakan Undi 18 pada tarikh yang ditetapkan sebelum ini.

Katanya, ini kerana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu jawapannya di dalam Dewan Rakyat pada 3 November tahun lalu telah pun menyatakan bahawa Undi 18 akan dilaksana menjelang Julai 2021.

“Berdasarkan Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan, di mana Jemaah Menteri hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen, maka keputusan ini adalah kegagalan bersama Jemaah Menteri.

“Perlu diingatkan bahawa Muhyiddin Yassin Takiyuddin adalah di antara 211 Ahli Parlimen yang telah bersama meluluskan pindaan ini. Oleh itu, Muhyiddin dan Takiyuddin perlu meletakkan jawatan segera,” ujar kenyataan itu lagi.

Sembilan ahli Parlimen pembangkang yang membuat kenyataan bersama itu ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil; Steven Sim (Bukit Mertajam), Khalid Abdul Samad (Shah Alam); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Datuk Azis Jamman (Sepanggar).

Artikel Berkaitan:

Turut bersama dalam kenyataan itu Datuk Seri Muhkhriz Mahathir (Jerlun); Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Tuaran) dan Baru Bian (Selangau).

Terdahulu pada Khamis, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan pendaftaran pemilih automatik dan mengundi pada usia 18 tahun (Undi 18) dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Abdul Ghani berkata, ia selepas pihaknya menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR.

Tambah beliau, perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19 telah menjejaskan perancangan dan persiapan SPR bagi melaksanakan perkara itu.