X

Kindly register in order to view this article
!

Belum masa guna VAR

Pertemuan antara Sabah dan TFC di Stadium Likas, Kota Kinabalu Ahad lalu 'panas' susulan beberapa keputusan kontroversi yang dibuat pengadil Khirulazuan Kidam. FOTO: FB TFC
A
A

KELIBAT pengadil perlawanan terus menggamit tumpuan peminat bola sepak tanah air dalam dua aksi Liga Super pada Ahad lalu membabitkan pertemuan Perak FC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak dan Sabah FC bertemu Terengganu FC (TFC) di Stadium Likas.

Apa tidaknya, beberapa keputusan yang dibuat 'si baju hitam' ketika mengadili perlawanan tersebut mengundang kontroversi sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain mahupun pegawai pasukan.

Menyedari isu mutu pengadilan semakin hangat diperdebatkan sejak kebelakangan ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggesa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempertimbangkan penggunaan video bantuan pengadil (VAR).

Ketika diminta mengulas gesaan Tunku Ismail itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, penggunaan VAR tidak dapat dilaksanakan dalam masa terdekat atas sebab sumber kewangan kebanyakan kelab masih belum kukuh.

“Menang kita sudah membincangkan mengenai perkara ini (penggunaan VAR). Tetapi kita perlu lihat daripada pelbagai aspek serta membuat kajian menyeluruh sebelum VAR diguna pakai dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Pertamanya, kita kena tengok dari segi perbelanjaan kerana ia melibatkan jumlah yang agak tinggi. Dianggarkan ia boleh mencecah ratusan ribu ringgit bagi setiap perlawanan Liga-M.

“Ia juga melibatkan jabatan pengadil di peringkat FAM. Apabila kita menggunakan teknologi VAR, kita memerlukan pengadil yang mahir dalam meniliti teknologi VAR ini dan mereka juga harus terlatih dalam meneliti rakaman di skrin.

“Sebab itu, teknologi VAR tidak dapat diguna pakai dalam masa terdekat tetapi apa yang lebih penting kita fokus dalam meningkatkan mutu pengadilan pengadil tempatan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram pula menyambut baik gesaan Tunku Ismail, namun tumpuan utamanya ketika ini adalah 'membersihkan' kembali imej pengadil.

“Memang bagus kalau teknologi VAR dapat digunakan. Bagi saya, apa yang diperkatakan Tunku Ismail itu memang ada kebenarannya dan kami akan bincangkan lebih terperinci mengenai pelaksanaan VAR dalam Liga-M.

“Cuma buat masa ini, saya mahu memperkemaskan semula mutu pengadilan kerana saya sedar banyak rungutan tentang pengadil sejak Liga-M bermula,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!