X

Kindly register in order to view this article
!

Lindungi pengadil, imej bola sepak negara

Subkhiddin
A
A

KEPUTUSAN merujuk kes pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Natxo Insa yang menolak pegawai perlawanan ke Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan reaksi tegas bagi mengatasi keresahan dalam aspek perlindungan terhadap pengadil.

Ia juga mampu menyerlahkan tahap keseriusan FAM selaku badan induk bola sepak negara dalam memelihara imej saingan liga tempatan serta kedudukan kedudukan pegawai perlawanan yang seharusnya dihormati ketika menjalankan tugas di atas padang.

Kebimbangan itu tercetus apabila penyerang import Kelantan FC, Jack Hindle masih lagi dibenarkan beraksi dua perlawanan Liga Premier selepas menolak pengadil secara agresif pada aksi pembukaan menentang Perak FC II, 6 Mac lalu, sebelum kes dirujuk ke jawatankuasa itu sembilan hari kemudian.

Insa yang merupakan pemain berdarah campuran negara, bertindak menyerbu dan menolak pegawai perlawanan Noor Azriel Baharudin sejurus tamat aksi Liga Super itu di Stadium Perak, yang berkesudahan 2-2 pada Ahad lepas.

Kebimbangan timbul sebelum ini apabila penyerang import Kelantan FC Jack Hindle masih lagi dibenarkan beraksi dua perlawanan Liga Premier selepas menolak pengadil secara agresif pada aksi pembukaan menentang Perak FC II 6 Mac lalu, sebelum kes dirujuk ke Jawatankuasa Tatatertib FAM sembilan hari kemudian, namun sehingga kini tiada sebarang hukuman dikenakan.

Berdasarkan semakan di laman Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), pemain yang didapati bersalah mengasari mahupun mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil akan dikenakan hukuman penggantungan dan denda selepas melalui siasatan oleh badan induk bola sepak Asia itu.

Malah, AFC hanya memerlukan tempoh sembilan hari untuk menjatuhkan hukuman penggantungan perlawanan selama 12 bulan dan denda AS$40,000 (RM165,807) kepada penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias gara-gara bertindak menolak dada pengadil pada aksi Piala AFC 2017 menentang Ceres Negros FC.

Hukuman penggantungan itu melibatkan perlawanan di seluruh Asia, merangkumi semua aksi peringkat domestik, benua dan antarabangsa, sama ada perlawanan persahabatan, tidak rasmi atau perlawanan rasmi.

Tindakan efektif Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC itu secara tidak langsung memberi gambaran jelas tiada ruang bagi sebarang bentuk 'keganasan bola sepak' terhadap pengadil seterusnya dapat menjaga imej pertandingan bola sepak.

"Mencerca, membuli atau menunjukkan syarat lucah kepada pengadil perlu diambil tindakan tegas. Dalam konteks menolak pengadil, ia adalah perbuatan melibatkan fizikal, ini satu keganasan," kata bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh.

"Jadi pemain berkelakuan ganas perlu ditahan daripada bermain sehingga diambil tindakan, contoh telah dilakukan AFC. Kita tidak boleh biarkan insiden sebegitu berterusan atau pemain tidak akan peduli. Tindakan diambil bukan sahaja kita melindungi pengadil tetapi juga perlawanan dan imej bola sepak negara," tambah beliau.

Isu melibatkan pegawai perlawanan antara topik utama sering dibangkitkan sepanjang saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bermula sejak 5 Mac lepas susulan beberapa keputusan yang mengundang kontroversi ketika mengendalikan perlawanan.

Beberapa pegawai perlawanan yang didapati membuat kesilapan telah diambil tindakan termasuk dikenakan penggantungan daripada sebarang tugasan perlawanan selama dua minggu selain perlu mengikuti program penambahbaikan prestasi.

Keputusan yang mencerminkan usaha FAM dalam memartabatkan mutu pengadilan Liga-M itu mendapat pujian peminat, namun 'penyokong ke-12' turut mengharapkan tindakan sama dikenakan terhadap pemain yang melanggar peraturan perlawanan.

"Pihak atasan perlu ada keberanian dan kekuatan untuk hentikan perwatakan keganasan dalam bola sepak," jelas Subkhiddin yang kini merupakan tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Bekas pengadil elit AFC dan kebangsaan itu berkata tiada keraguan kesalahan menolak pengadil seperti dilakukan Hindle dan Ignacio Insa merupakan satu kelakuan ganas terhadap pengadil dan layak diperintahkan keluar padang.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!