X

Kindly register in order to view this article
!

Operasi alih kapal halang Terusan Suez sukar

Kapal kargo MV Ever Given telah menghalang laluan di Terusan Suez sejak beberapa hari lalu. - Foto: AFP
A
A

KAHERAH - Pemilik kapal kargo gergasi berukuran 400 meter panjang dan 59 meter lebar yang menghalang laluan di Terusan Suez di Mesir memohon jutaan maaf atas insiden itu yang telah menjejaskan salah sebuah laluan perdagangan maritim paling sibuk di dunia sejak beberapa hari lalu.

Pada Khamis, syarikat Shoei Kisen yang berpusat di Jepun menyatakan mereka kini bekerjasama dengan pihak pengurusan teknikal syarikat tersebut dan pihak berkuasa tempatan untuk mengalihkan kapal MV Ever Given tersebut, namun operasi itu didakwa sangat sukar.

“Kami sangat kesal dengan kejadian ini kerana ia mengganggu jadual perjalanan kapal lain,” ujar jurucakap syarikat itu, Toshiaki Fujiwara sambil menambah tiada masalah tumpahan minyak atau kru cedera dilaporkan pada kapal dikendalikan Taiwan dan mengibarkan bendera Panama tersebut.

Menurutnya, kapal tunda Mesir akan cuba menunda MV Ever Given yang membawa kargo antara Asia dan Eropah apabila air pasang.

Sementara itu, pihak berkuasa Terusan Suez memaklumkan kira-kira 13 kapal yang berlayar secara konvoi dari Pelabuhan Said kini terkandas manakala sebanyak 150 kapal menunggu kebenaran untuk menggunakan laluan tersebut.

Kapal MV Ever Given itu dilaporkan melintang di bahagian selatan terusan itu susulan angin kencang dan ribut debu pada pagi Selasa lalu. - AFP


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!