X

Kindly register in order to view this article
!

LLM arah syarikat konsesi projek bina lebuh raya lantik juruaudit

Lokasi kejadian kren 'launcher' terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan semua syarikat konsesi yang sedang terlibat dalam projek pembinaan lebuh raya untuk melaksanakan pemeriksaan keselamatan terperinci melalui juruaudit bebas.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan berkata, arahan itu selari dengan kenyataan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengarahkan audit menyeluruh dilakukan dengan kadar segera terhadap semua lebuh raya dalam pembinaan.

Menurutnya, arahan tersebut juga selaras dengan perjanjian konsesi yang meletakkan tanggungjawab terhadap syarikat konsesi untuk melantik juruaudit bebas yang dipantau oleh LLM sekiranya berlaku sebarang kejadian di luar jangka.

“Pelantikan juruaudit bebas ini perlu untuk menilai keseluruhan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), langkah-langkah penambahbaikan yang perlu dilakukan dan mengkaji punca insiden luar jangka.

“LLM juga telah diarahkan oleh Menteri Kanan Kerja Raya supaya memastikan kesemua syarikat konsesi melaksanakan pemeriksaan terperinci di kesemua kawasan pembinaan yang berisiko tinggi terhadap keselamatan pengguna jalan raya, orang awam dan pekerja pembinaan,” katanya.

Pada 22 Mac lalu, tiga pekerja warganegara China maut, manakala seorang warga tempatan cedera parah dalam kejadian kren 'launcher' terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Kejadian tersebut merupakan insiden maut kedua yang melibatkan tapak pembinaan lebuh raya itu pada tahun ini.

Sementara itu, Mohd Shuhaimi memaklumkan, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dan Lebuhraya Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah melantik juruaudit bebas pada Khamis untuk melaksanakan audit keselamatan secara menyeluruh di tapak pembinaan SUKE.

Menurutnya, juruaudit bebas itu dilantik untuk mengkaji punca insiden luar jangka yang telah berlaku pada Isnin lalu selain daripada siasatan dijalankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Pelantikan juruaudit bebas ini adalah SOP apabila berlaku kejadian luar jangka di semua tapak pembinaan lebuh raya.

“Kesemua syarikat pemaju projek lebuh raya adalah bertanggungjawab untuk memastikan kesemua kontraktor dan sub-kontraktor mematuhi peraturan serta prosedur kerja yang telah ditetapkan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!