X

Kindly register in order to view this article
!

Parti Arab buat kejutan pada Pilihan Raya Umum Israel

Abbas (kiri) menzahirkan sikap keterbukaan untuk ‘berurusan’ dengan Netanyahu. - Foto Agensi
A
A

TEL AVIV - Sebuah parti Arab konservatif membuat kejutan pada Pilihan Raya Umum Israel yang berlangsung Selasa lalu dan dijangka menjadi 'kingmaker' untuk memulihkan semula politik yang goyah di Tel Aviv.

Jangkaan itu dibuat selepas parti kecil Palestin-Israel, Senarai Arab Bersatu (UAL) atau Ra’am memperoleh kemenangan tidak dijangka berikutan meraih lima daripada 120 kerusi di Knesset (Parlimen).

Situasi itu sekali gus meletakkan parti itu pada kedudukan yang berpotensi untuk menentukan nasib Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Keputusan kiraan kira-kira 90 peratus undi pada Rabu menunjukkan Netanyahu, 71, dan sekutunya serta blok penentang beliau masing-masing gagal memperoleh majoriti 61 kerusi Knesset.

Pemimpin UAL, Mansor Abbas bagaimanapun mempunyai pendirian berbeza dengan kumpulan politik Arab lain kerana beliau tidak menolak kemungkinan untuk membentuk kerajaan gabungan.

“Kami bersedia untuk bergabung dengan kem Netanyahu atau pesaingnya,” ujarnya sambil menjelaskan mereka tidak terikat dengan mana-mana pihak.

Beberapa minggu sebelum pemilihan keempat dalam tempoh dua tahun itu, Abbas turut menzahirkan sikap keterbukaan beliau untuk ‘berurusan’ dengan Netanyahu walaupun pemimpin paling lama berkhidmat itu sering memburukkan dan mempersenda komuniti Arab Israel.

Beberapa penganalisis berpendapat blok ekstremis berhaluan kanan pro-Netanyahu, Religious Zionism yang sering menggunakan retorik anti-Arab mungkin menyukarkan penubuhan kerajaan gabungan yang stabil bersama UAL. - AFP

ARTIKEL BERKAITAN: Parti PM Israel gagal dapat majoriti


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!