Polis tembak tayar kereta suspek cuba rempuh MPV polis

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Satria bertindak cuba merempuh kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) pada Khamis.

Suspek sebelum itu dikejar anggota polis dari Balai Polis Damansara ketika di Jalan Anggerik Kampung Sungai Kayu Ara, namun dia kemudiannya bertindak agresif melawan arus dan cuba melanggar kenderaan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis terpaksa melepaskan tembakan pada tayar hadapan sebelah kanan kenderaan yang dipandu suspek.

"Suspek turut bertindak memandu secara berbahaya apabila melawan arus di Lebuhraya Damansara Puchong sebelum berhenti di tepi jalan berhampiran Gereja Katolik SS25," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, suspek kemudian melarikan diri melalui longkang berhampiran.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemukan pelbagai barangan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah pecah cermin kereta.

"Siasatan dijalankan mendapati suspek terlibat dalam kegiatan jenayah tersebut di sekitar kawasan Damansara, Petaling Jaya," katanya.

Menurutnya, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan dan polis percaya suspek masih berada di dalam daerah Petaling Jaya.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat berkaitan suspek boleh disalurkan kepada balai berhampiran atau terus menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adam Firdaus di talian 012-7565464," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.