X

Kindly register in order to view this article
!

Olimpik Tokyo: BAM tidak mahu beri tekanan kepada Zii Jia raih emas

Zii Jia - Foto AFP
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu memberi tekanan kepada juara Seluruh England, Lee Zii Jia dengan menyasarkannya sebagai sandaran pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo, Julai depan.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, sasaran awal BAM adalah mempersiapkan Zii Jia bersama barisan pemain muda lain untuk sedia menyahut cabaran menyumbang emas buat negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Apabila kita lihat peningkatan Zii Jia ini, sudah semestinya kita mahukan beliau berusaha bersungguh-sungguh selepas ini, dan sekurang-kurangya cuba mendapatkan pingat di Tokyo nanti.

“Kita tidak mahu letak tekanan kepada beliau tetapi saya rasa setiap pemain mempunyai impian untuk meraih emas atau pingat lain di Sukan Olimpik terutamanya di Tokyo,” katanya.

Pemain yang menghuni kedudukan kelapan dunia itu, muncul juara All England selepas menewaskan juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9.

Mohamad Norza berkata, Zii Jia mempunyai karakter istimewa dan beliau kagum dengan semangat juang tinggi dimiliki dalam usaha pemain berkenaan menutup mulut pengkritik susulan prestasi hambar pada permulaan 2021, dengan menjuarai kejohanan badminton tertua dunia di Utilita Arena, Birmingham itu, Ahad lepas.

Menurut Mohamad Norza, kritikan berterusan dihadapi pemain boleh membunuh kerjaya mereka namun tidak bagi pemain berusia 22 tahun dari Kedah itu apabila beliau mengambilnya sebagai iktibar dan cabaran untuk memajukan diri dalam sukan berkenaan.

Sementara itu, Mohamad Norza yakin pemain perseorangan wanita negara, S Kisona mampu bangkit selepas menampilkan prestasi kurang memuaskan apabila tewas mudah kepada pemain Thailand Busanan Ongbamrungphan 21-6, 21-7 pada pusingan pertama Seluruh England.

Selain itu, beliau yakin seorang lagi pemain perseorangan wanita negara Goh Jin Wei yang sebelum ini bergelut dengan kecederaan mampu menyinar apabila kembali beraksi di kejohanan badminton Orleans Masters 2021 di Perancis minggu ini.

"Kita mahu barisan pemain berada di peringkat tertinggi dunia dan diharapkan agar kejayaan Zii Jia pada Seluruh England baru-baru ini mampu diikuti pemain lain dalam usaha mengekalkan Malaysia antara kuasa besar badminton di peringkat antarabangsa,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!