X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 29 Mei 2022

41 kluster di institusi pendidikan direkod: KP Kesihatan

Dr Noor Hisham
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 41 kluster Covid-19 di semua peringkat institusi pendidikan dilaporkan setakat hari ini sejak 1 Januari lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 15 kluster melibatkan pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster prasekolah dan sekolah rendah serta lima kluster pusat tahfiz dan madrasah yang telah dilaporkan dalam tempoh hampir tiga bulan itu.

Ia termasuk tiga kluster baharu yang diumumkan hari ini iaitu Kluster Paloh Rambai, Kluster Merinding, dan Kluster Persiaran Maktab.

“Bermula 20 Januari lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mengumumkan pembukaan semula institusi pendidikan secara bersemuka bagi pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) secara berfasa dan pembukaan ini diperluaskan kepada sekolah rendah serta prasekolah pada 1 Mac.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyambut baik komitmen KPM dalam memastikan para pelajar tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan yang selamat.

“Oleh itu, KKM ingin mengingatkan semua pihak terutamanya para pentadbir, guru, ibu bapa atau penjaga, pengusaha kantin, pemandu kenderaan sekolah serta pelajar untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Normal Baharu,” katanya dalam kenyataan perkembangan situasi Covid-19 di sini pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian dengan kerjasama KPM akan sentiasa memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan institusi pendidikan adalah kondusif dan selamat untuk pengajian sekali gus akan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dan juga lain-lain jangkitan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!