X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

'Kluster menteri' perlu nyata pendirian terhadap Ahmad Zahid

Mohamad Khir, Ismail Sabri
A
A

SHAH ALAM - Mana-mana pemimpin UMNO berjawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menyatakan pendirian jelas sama ada mahu terus menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau sebaliknya.

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, pendirian ini penting bagi menentukan kelangsungan UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain menjamin kedudukan mereka dalam parti.

Jelas beliau, mana-mana pemimpin UMNO yang menentang keputusan menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15 pasti akan ditolak akar umbi parti pada pemilihan UMNO akan datang.

"Secara rambang sekiranya jajaran baharu dibentuk dan ikut perkiraan awal mampu membentuk kerajaan yang kuat dan stabil malah mampu memperoleh majoriti dua pertiga dalam Parlimen, mengapa tidak UMNO berusaha ke arah itu? Bukankah UMNO sebuah parti yang memperjuangkan kebajikan rakyat?

"Ismail Sabri, 'kluster menteri' tidak boleh duduk diam macam air dalam kolam yang tidak beriak jika tiada ikan yang melompat. Beliau sepatutnya membuat pernyataan sebelum ucapan Presiden, itu sebaiknya untuk UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum ini, Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) menegaskan tindakan disiplin boleh dikenakan sekiranya terdapat ahli dan pemimpin UMNO yang didapati menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP.

Katanya, kepimpinan tertinggi parti telah membuat keputusan tidak akan bekerjasama dengan parti-parti itu.

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat perbincangan awal diadakan di antara pihaknya dan wakil pemimpin UMNO bagi membentuk kerjasama politik baharu.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid pada Rabu menegaskan UMNO tidak akan mengadakan sebarang kerjasama politik dengan blok pembangkang pada PRU15.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir menyokong pandangan Mohamad Khir yang meminta Ismail Sabri menyatakan pendirian jelas sama ada mahu menyokong Ahmad Zahid atau sebaliknya.

Menurutnya, ia penting demi memastikan beliau dapat terus memposisikan diri sebagai Naib Presiden UMNO dalam kedudukan politik dan nasional kerana pendiriannya akan menentukan hala tuju parti.

Jeniri turut yakin Ismail Sabri akan menyatakan pendiriannya pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad ini.

"Jadi mana-mana pemimpin politik itu harus membuat satu keputusan yang jelas dan konkrit serta pragmatik, bukan sahaja menentukan survival UMNO tetapi juga untuk menjamin bagaimana kedudukan mereka selepas PRU15 nanti.

"Mereka tidak boleh dilihat berdiri di atas pagar kerana pemimpin sedemikian adalah pemimpin yang dilihat 'selamat' dan cuba meraih keuntungan daripada kedua-dua pihak selepas sesuatu keputusan diambil," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!