Kereta terjunam ke tasik: Keluarga bangga pengorbanan Nor Aiza

Norsabrina menyampaikan replika cek Faedah Pengurusan Mayat kepada Hashim sambil disaksikan Mohamad Haron (dua dari kanan).
Norsabrina menyampaikan replika cek Faedah Pengurusan Mayat kepada Hashim sambil disaksikan Mohamad Haron (dua dari kanan).
A
A
A

SERDANG - Keluarga mangsa lemas dalam tragedi kereta terhumban ke dalam tasik, Nor Aiza Hashim, 28, dan ibunya, Hasmah Mat Isa, 69, reda dengan kejadian berkenaan.

Abang kepada Nor Aiza, Mohd Azimat Hashim, 44, berkata, mereka kehilangan ahli keluarga yang disayangi tetapi pengorbanan yang dilakukan adiknya mungkin sukar dilakukan orang lain.

Menurut Mohd Azimat, melalui rakaman video yang tular, membuktikan semangat kental adiknya memberi pengajaran kepada semua yang menyaksikan detik terakhir usaha Nor Aiza dalam cubaan menyelamatkan ibu mereka yang terperangkap.

"Sudah tentu kami sedih tetapi bangga dengan semangatnya. Kalau saya di tempat dia pun, belum tentu saya boleh buat apa yang dia lakukan," katanya ketika ditemui di rumah mereka dekat Taman Orkid pada Khamis.

Keluarga itu menerima kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kedah, Mohamad Haron Othman ke rumah mereka.

Ahli keluarga mangsa yang ditemui di rumah mereka dekat Taman Orkid Serdang pada Ahad.
Ahli keluarga mangsa yang ditemui di rumah mereka dekat Taman Orkid Serdang pada Ahad.

Dalam kejadian Ahad lalu, kereta yang dinaiki Nor Aiza dan Hasmah dikatakan meluncur sebelum terjunam ke dalam Tasik Serdang lebih kurang jam 6.30 petang.

Nor Aiza yang dilaporkan sudah berada di luar kereta ketika itu bertindak masuk semula ke dalam kenderaan itu bagi menyelamatkan ibunya yang terperangkap sebelum kedua-duanya ditemui lemas.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Dua beranak lemas, kereta terjunam masuk tasik

Luluh hati lihat ibu, adik tenggelam depan mata

Sementara itu, keluarga berkenaan menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan Faedah Pencen Penakat yang dibayar secara bulanan sebanyak RM608 kepada bapa Nor Aiza, Hashim Ariffin, 72.

Norsabrina berkata, setiap individu tidak kira sama ada makan gaji atau bekerja sendiri disaran mencarum dengan Perkeso bagi membolehkan waris menikmati faedah yang ditawarkan sekiranya berlaku bencana.

"Inilah kepentingan membuat caruman dengan Perkeso, biarpun jumlahnya rendah tetapi manfaatnya diperoleh waris sepanjang hayat.

"Saya juga ingin menggalakkan orang ramai untuk mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang ditawarkan serendah RM13.10 sebulan kerana manfaat yang diperolehi cukup besar," katanya.

Norsabrina ketika menziarahi Hashim Ariffin di rumahnya dekat Taman Orkid, Serdang pada Ahad.
Norsabrina ketika menziarahi Hashim Ariffin di rumahnya dekat Taman Orkid, Serdang pada Ahad.