Sultan Kedah titah hadkan jumlah pelancong Pulau Payar

Sultan Sallehuddin (kanan) dan Tengku Sarafudin Badlishah (dua dari kanan) melihat terumbu karang semasa perkenan berangkat ke Taman Laut Pulau Payar pada Khamis.
Sultan Sallehuddin (kanan) dan Tengku Sarafudin Badlishah (dua dari kanan) melihat terumbu karang semasa perkenan berangkat ke Taman Laut Pulau Payar pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, kemasukan pelancong ke Taman Laut Pulau Payar perlu dihadkan pada jumlah minimum sahaja dalam seminggu bagi menjaga khazanah alam di pulau tersebut.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Pejabat Tuanku Sultan Kedah, baginda juga bertitah pengunjung perlu mempunyai kesedaran menjaga khazanah alam dan kemasukan pelancong yang tinggi memberikan tekanan kepada kepelbagaian hidupan marin di pulau tersebut.

"Dalam kunjungan ke pulau itu pada Khamis, baginda menerima sembah taklimat daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Ahmad Tarmidzi Ramly berhubung status semasa Pulau Payar dan tayangan video khas Terumbu Ikonik Pulau Payar," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut, Sultan Sallehuddin melihat Pulau Payar yang kaya dengan khazanah dasar lautnya wajar dipulihara dengan sebaik-baiknya.

Baginda berkenan berangkat ke pulau tersebut yang mempunyai keluasan 31.2 hektar dan menyempurnakan gimik perasmian Terumbu Ikonik Pulau Payar.

Untuk rekod, jumlah kemasukan pelancong ke taman laut itu sebelum ini mencecah sehingga 800 orang setiap hari.

Menurut kenyataan tersebut, keberangkatan baginda untuk melihat status semasa Pulau Payar selepas teguran baginda kepada pihak berkuasa agar kebersihan di pulau berkenaan diberi perhatian yang lebih serius.

Artikel Berkaitan:

"Sultan Sallehuddin bertitah, pihak berkaitan perlu mengambil inisiatif bagi pembangunan pulau tersebut sebagai destinasi pelancongan yang berpotensi besar kerana kaya dengan khazanah dasar lautnya," katanya.

Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul KarimSultan Sallehuddin dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Shazuddin Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Turut mengiringi keluarga diraja ialah Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim.