Penjaja, pembeli di lampu isyarat di Perak akan disaman

Gambar hiasan. Gambar kecil: Mior Faridalathrash
Gambar hiasan. Gambar kecil: Mior Faridalathrash
A
A
A

IPOH - Polis Perak akan terus menjalankan penguatkuasaan terhadap aktiviti menjaja di kawasan lampu isyarat di negeri ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sebelum ini telah mengenakan tindakan saman kepada peniaga menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

Menurutnya, penguatkuasaan secara berterusan itu akan dijalankan secara berkala dari masa ke masa.

"Saya ingin memberikan amaran keras kepada peniaga agar mereka mencari lokasi selain di kawasan lampu isyarat kerana tindakan mereka itu mengganggu aliran trafik.

"Sebelum ini pun, kita dah berikan amaran tapi masih ada yang menjual di kawasan lampu isyarat dan selepas ini kita akan terus ambil tindakan kepada peniaga termasuk pelanggan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika Program Ketua Polis Perak Bersama Media Sempena Sambutan Hari Polis ke-214 di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini pada Khamis.

Sementara itu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya terus meningkatkan kawalan sempadan khusus di Pengkalan Hulu bagi mengelak sebarang ancaman kepada negara.

Menurutnya, selain penugasan anggota sedia ada, penyerapan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) ke dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu memperkukuhkan lagi penguatkuasaan di sempadan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), beliau menjelaskan tahap pematuhan di negeri ini sebanyak 96 peratus.

Malah katanya, jumlah kompaun juga menurun dengan ketara iaitu hanya 46 kompaun dikeluarkan dari 19 hingga 24 Mac berbanding 347 kompaun pada 5 hingga 18 Mac sebelum ini.