X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Sempat jumpa abang, adik di jeti

Tangkap layar video dirakam Nur Afza Balqis bot kelas A yang dinaiki abang dan adiknya sebelum bertolak petang Isnin lalu.
A
A

KEMAMAN - Keluarga salah seorang daripada enam pemancing yang hilang di laut sejak empat hari lalu sempat bertemu abang dan adiknya di jeti di sini pada Isnin sebelum bot kelas A yang dinaiki untuk memancing ikan bertolak.

Nur Afza Balqis Zakaria, 21, berkata, ketika itu dia bertemu abangnya, Mohamad Hafizrul Hisyam Zakaria, 29, dan adiknya Muhammad Hazim Luqman Zakaria, 19 yang turut menaiki bot yang sama.

Selain itu, katanya, sepupunya,Mohamad Shamrin Suhaimi, 19 , turut serta bersama tiga lagi rakan mereka iaitu, Rosidi Mohamad, 22; Mohamad Zulkarnain Mohamat Nor, 20 dan Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah,19.

"Kali terakhir jumpa mereka berdua Isnin lalu dalam jam 3 petang untuk hantar barang-barang kelengkapan sebelum bot dinaiki bertolak ke pelabuhan Kemaman untuk memancing.

"Saya perasan daripada riak wajah adik saya memang nampak dia sangat gembira sebab dah lama tak keluar memancing. Dia dan abang gemar memancing jika ada kelapangan atau ketika hari tidak bekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Enam pemancing dikhuatiri hilang di laut

Bot enam pemancing mungkin hanyut ke arah selatan

Nur Afza Balqis berkata, abangnya yang berpengalaman turun ke laut sejak remaja lagi, namun kali pertama menjadi tekong bot milik bapanya itu.

Katanya, abangnya memberitahu, mereka akan pulang selepas dua hari kerana akan memancing pada jarak 20 batu nautika daripada pesisir laut dengan tempoh perjalanan sehala selama tiga jam.

"Ayah dah jarang turun ke laut sekarang, jadi abang lebih banyak turun ke laut untuk menangkap ikan. Macam sepupu saya, Mohamad Shamrin dia dah ada pengalaman turun ke laut sejak kecil.

"Walaupun ada pengalaman, kami bimbang juga sebab pengalaman dia tak sama macam nelayan-nelayan lama yang sudah biasa turun ke laut," katanya.

Nur Afza Balqis berkata, dia sekeluarga pasrah dengan apa yang berlaku dan berharap agar mereka dapat pulang dengan selamat.

"Kami pasrah dengan apa yang berlaku dan berserah pada ALLAH SWT selain tidak akan putus berikhtiar agar mereka ditemui segera dalam keadaan selamat," katanya.

Terdahulu, sebuah bot nelayan tempatan kelas A bersama enam kru termasuk tekong dikhuatiri hilang di Perairan Kemaman, di sini selepas terputus hubungan pada Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, bot yang dinaiki kesemua pemancing itu dilaporkan keluar ke laut sejak Isnin lalu dan sepatutnya tiba di daratan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Naluri saya merasakan Angah masih hidup: Ibu


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!