Syarikat didenda RM50,000 urus sisa pepejal tanpa lesen

Sebuah syarikat pengutip sisa pepejal didenda RM50,000 kerana menguruskan kemudahan sisa pepejal tanpa lesen di atas tanah kerajaan.
Sebuah syarikat pengutip sisa pepejal didenda RM50,000 kerana menguruskan kemudahan sisa pepejal tanpa lesen di atas tanah kerajaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat menguruskan kemudahan sisa pepejal tanpa lesen di atas tanah kerajaan, sebuah syarikat pengutip sisa pepejal didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis.

Hakim Siti Noraida Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Syarikat Indah Bersih Sdn Bhd yang diwakili pengarah urusannya, K Muthu Kumar selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan membayar denda dikenakan.

Syarikat itu didakwa menguruskan suatu kemudahan pengurusan sisa pepejal yang diklasifikasikan sebagai kemudahan stesen permindahan sebagaimana dinyatakan di dalam Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Kemudahan Pengurusan Sisa Pepejal yang Ditetapkan dan Kelulusan bagi Pembinaan, Pengubahan dan Penutupan Kemudahan) 2011 di atas tanah kerajaan tanpa lesen di Jalan Emas, Chan Sow Lin, di sini, pada 10 pagi, 2 April 2019.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(1)(b) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14(3) akta sama yang membawa hukuman denda minimum RM50,000 dan maksimum RM100,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan dalam hal kesalahan yang berterusan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nor Iffa Zarilla Abd Rahmad memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam termasuk kos diambil kerajaan untuk kempen kebersihan.

“Selain itu, mohon mahkamah mengambil kira lokasi kejadian yang bersebelahan dengan sungai,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama-sama Pegawai Pendakwa (PP) Muhammad Fahmi Hashim dan PP Siti Adora Rahtimin.

Peguam A Johnson, yang mewakili syarikat itu memohon hukuman berbentuk denda minimum atas alasan perniagaan OKS terjejas disebabkan pandemik Covid-19 selain OKS juga memberikan kerjasama yang baik semasa siasatan dijalankan.

Mengikut fakta kes, anggota penguatkuasa SWCorp (Unit Penguatkuasaan) WPKL yang telah melakukan operasi penguatkuasaan di stor Syarikat Indah Bersih mendapati syarikat itu telah menjadikan premis berkenaan sebagai kemudahan pengurusan sisa pepejal jenis stesen pemindahan tanpa lesen yang sah dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN).

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan, Mohd Zahir Shari dalam kenyataan medianya menegaskan kepada mana-mana pihak yang ingin menjalankan aktiviti pengurusan sisa pepejal perlu mendapatkan lesen operasi terlebih dahulu daripada pihak JPSPN melalui SWCorp supaya peraturan berkaitan dipatuhi bagi mengelakkan daripada diambil tindakan. - Bernama