TH lantik 22 Pengelola Jemaah Haji tahun ini

Lembaga Tabung Haji memberi lesen haji kepada 22 buah syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji pada Khamis
Lembaga Tabung Haji memberi lesen haji kepada 22 buah syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji pada Khamis
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) pada Khamis memberi lesen haji kepada 22 syarikat pelancongan tempatan termasuk anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi tahun 2021.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pelantikan 22 PJH berkenaan adalah sebahagian daripada pelan persediaan awal haji yang dilakukan oleh TH.

“Setakat hari ini, kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu maklumat rasmi berkaitan urusan haji untuk tahun 2021 daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

“Oleh itu, semua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej-pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu Syed Saleh turut mengingatkan adalah menjadi satu kesalahan kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa memperoleh kelulusan daripada TH dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“TH berharap orang ramai sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga kerana TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal-hal berkaitan tawaran haji dan pakej haji,” tegasnya.

Tambahnya, semua wakil PJH yang hadir pada majlis penyerahan lesen tersebut telah diberikan taklimat berkaitan norma baru pelaksanaan ibadat haji pada musim pandemik Covid-19.

Beliau berkata, senarai PJH yang menerima lesen boleh disemak di laman web rasmi TH di http://www.tabunghaji.gov.my.

Artikel Berkaitan:

Katanya, untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03- 62071919.