'Polis bukan pengakap'

Ramli (tengah) hadir merasmikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di IPK Selangor pada Khamis. Turut hadir Arjunaidi (kiri) dan Sharul Lalli.
Ramli (tengah) hadir merasmikan Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di IPK Selangor pada Khamis. Turut hadir Arjunaidi (kiri) dan Sharul Lalli.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima lebih 14,000 permohonan pertukaran pegawai dan anggotanya pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, ini bermakna setiap bulan lebih 1,200 permohonan diproses.

Menurutnya, daripada jumlah itu, kira-kira 60 peratus sahaja diluluskan manakala selebihnya tidak layak kerana beberapa faktor antaranya masih terlalu muda untuk pulang ke negeri asal.

"Kerja polis bukan pengakap, kamu suka kamu pergi, kamu tak suka kamu mohon tukar.. bukan pengakap. Kita tidak boleh begitu.

"Ada yang baru tukar tidak sampai setahun sudah mohon tukar sekali lagi.

"Kita tahu tidak salah hendak memohon tetapi tidak boleh," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor selepas Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas di sini pada Khamis.

Ramli berkata, dasar pertukaran PDRM ialah seseorang pegawai atau anggota perlu lima tahun berkhidmat di mana-mana tempat selepas latihan asas sekelum boleh memohon pertukaran.

Bagi anggota atau pegawai itu pulang ke negeri asal atau tempat kelahiran, mereka mestilah berusia 50 tahun manakala bagi Sabah dan Sarawak adalah 45 tahun.

Artikel Berkaitan:

Katanya, PDRM juga ada Dasar Integrasi Nasional iaitu PDRM mahu supaya setiap negeri mempunyai 20 peratus anak negeri yang berkhidmat di negeri itu dan 40 peratus bagi Sabah dan Sarawak.

"Kita tidak mahu terlalu ramai anak negeri itu berkhidmat di negeri dia sendiri," katanya.

Ramli berkata, walaupun pihaknya mempunyai dasar ini, PDRM turut mempertimbangkan faktor kebajikan iaitu setiap permohonan akan dilihat dari beberapa sudut contohnya mempunyai anak istimewa yang memerlukan bantuan, penjagaan ahli keluarga selain pemohon adalah anak tunggal dan mempunyai ibu bapa yang sakit.

Tambahnya, selain itu, pertukaran juga dibuat disebabkan penggiliran tugas di mana pegawai atau anggota tidak boleh bertugas di sesuatu tempat sensitif dalam tempoh yang lama.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan peratusan kaum Cina dan India dalam pasukan adalah rendah.

"Kita dapati kaum Cina hanya 1.9 peratus manakala 3.7 peratus adalah India. Kita memerlukan lebih ramai lagi penyertaan mereka dalam masyarakat majmuk dan bersama bertanggungjawab menjaga ketenteraman negara," katanya.

Pada majlis itu, Datuk Arjunaidi Mohamed dilantik sebagai Ketua Polis Selangor dan Datuk Sharul Lalli Masduki sebagai timbalannya.