PAU 2020: UMNO Selangor teguh sokong keputusan MKT

Noh (duduk, tengah) bergambar bersama wakil hospital dan petugas kesihatan yang menyertai suntikan vaksin kali kedua di Hospital Tanjong Karang, pada Khamis.
Noh (duduk, tengah) bergambar bersama wakil hospital dan petugas kesihatan yang menyertai suntikan vaksin kali kedua di Hospital Tanjong Karang, pada Khamis.
A
A
A

TANJONG KARANG - UMNO Selangor berpegang teguh dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang hanya menjalin kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga Parlimen dibubarkan.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, pendirian itu jelas bagi menyatakan prinsip dan pendirian UMNO Selangor pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) Kuala Lumpur pada Sabtu dan Ahad.

"UMNO Selangor akan bersama-sama menyokong keputusan yang telah dibuat MKT," katanya kepada Sinar Harian selepas Program Suntikan Vaksin Covid-19 di Hospital Tanjong Karang di sini pada Khamis.

Noh terdahulu mengetuai lima petugas kesihatan menyertai suntikan vaksin kali kedua di hospital berkenaan.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, selain memutuskan kerjasama dengan Bersatu, pihaknya menyokong usul daripada MKT berhubung penolakan tawaran jawatan timbalan perdana menteri (TPM).

"Usul MKT ada dua selain bekerjasama dengan kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan, satu lagi usul kita tidak menerima jawatan TPM.

"Selangor akan beri sokongan terhadap dua usul yang diputuskan MKT," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Noh berkata, beliau amat menjunjung titah di atas ketegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam mempertahankan kalimah suci itu yang hanya boleh digunakan untuk umat Islam.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketegasan baginda itu selaras dengan Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988).

"Saya masih ingat semasa menjadi timbalan menteri dalam negeri, memang saya sendiri tidak membenarkan kitab-kitab injil daripada negara jiran dibawa masuk ke negara kita.

"Malah, apabila dimaklumkan tentang penerbitannya (kalimah ALLAH) pada masa itu, memang kami mengambil tindakan tegas selain tidak membenarkan ia dibawa masuk kerana ia sejajar dengan Enakmen di negeri Selangor," katanya.

Justeru, katanya, beliau berharap pihak mahkamah dapat memberi keutamaan rayuan kerajaan terhadap larangan penggunaan kalimah ALLAH kepada bukan Islam.

"Daripada segi perundangan khususnya di Selangor kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain," katanya.