Kerajaan alu-alukan usaha Selangor beli vaksin

Khairy (kiri) menerima cenderahati daripada Amirudin selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 (CITF) Peringkat Negeri Selangor sempena lawatan kerjanya ke Selangor hari ini. - Foto Bernama
Khairy (kiri) menerima cenderahati daripada Amirudin selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Bertindak Program Imunisasi Covid-19 (CITF) Peringkat Negeri Selangor sempena lawatan kerjanya ke Selangor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Persekutuan mengalu-alukan usaha kerajaan Selangor untuk membeli secara terus keperluan bekalan vaksin daripada pembekal.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, beliau sedia membantu kerajaan negeri selepas menerima permohonan berhubung pembelian bekalan itu sebelum ini.

"Kita alu-alukan (usaha kerajaan Selangor) untuk menampung keperluan tambahan (vaksin) yang kerajaan Persekutuan beri pada semua. Saya sedia membantu dari sudut itu," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Bangunan Annex, pada Khamis.

Sebelum ini, kerajaan Selangor merancang memperuntukkan sebanyak tiga hingga lima juta dos pembelian vaksin Covid-19 bagi membolehkan penularan virus dikawal sekali gus memutuskan rangkaian jangkitan.

Mengulas lanjut mengenai pembelian itu, Amirudin berkata, buat masa ini kerajaan negeri sedang mengenal pasti senarai lima jenis vaksin yang ditempah oleh kerajaan Pusat.

Beliau berkata, proses perolehan akan dilaksanakan dalam masa yang sesuai bagi menggelakkan gangguan kepada keseluruhan rancangan untuk menangani wabak Covid-19.

"Saya percaya kerajaan negeri akan dapat membeli (vaksin) untuk membolehkan pemberiannya disegerakan kepada golongan sasar.

"Apa yang difokuskan ini bukan kerana Selangor ada ramai warga emas, kelompok penyakit kritikal dan kronik tetapi kita mempunyai industri yang besar melibatkan 120 syarikat dengan lebih tiga juta pekerja di negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Amirudin, pihaknya menyasarkan bagi menyelesaikan pemberian vaksin fasa pertama ini terlebih dahulu bagi memastikan pelaksanaan fasa berikutnya berjalan lancar.

"Ini kerana mereka inilah yang akan bergerak untuk fasa seterusnya. Kemudian kita akan fokus dalam penyediaan logistik, lokaliti dan pembelian vaksin," katanya.