'Siapa pengganti saya terpulang kepada PM, Agong'

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] 'Siapa pun yang akan menjadi pengganti saya selepas ini, ia terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Demikian reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika diminta mengulas mengenai penggantinya selepas beliau bersara yang dijangka pada 3 Mei ini.

Abdul Hamid berkata, bagaimanapun kebiasaannya timbalan akan menggantikan jawatan seseorang ketua itu selepas ketua tersebut bersara.

"Siapa timbalan, selalu akan naik jadi Ketua Polis Negara.

"Bagaimanapun, keputusannya terpulang kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, sebab jawatan ini memerlukan perkenan Seri Paduka baginda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Portal dan Aplikasi Mobile My Bayar Saman di Dewan Theatrette Menara 1 Bukit Aman pada Khamis.

Pelantikan Abdul Hamid sebelum ini berkuatkuasa mulai 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Abdul Hamid yang kini berusia 63 tahun dilahirkan pada 7 Ogos 1958 telah memegang pelbagai jawatan dalam pasukan polis di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Artikel Berkaitan:

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Timbalan Ketua Polis Gombak, Ketua Cawangan Khas Negeri, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perisikan Luar (E3), Bahagian Ancaman Ekstrimis Luar, Timbalan Pengarah Cawangan Khas I dan Pengarah Cawangan Khas sejak Mei 2018.

Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisan, Abdul Hamid mempunyai kompetensi dan daya tahan kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia.