X

Kindly register in order to view this article
!

Program vaksinasi beri kesan pembukaan sempadan: MB Johor

Hasni (tengah) menerima Skrol Pelan Pembangunan Mampan Johor 2021 (Hal Ehwal Agama Islam) daripada Tosrin selepas perasmian Muzakarah Pelan Pembangunan Mapan Johor 2030 di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru pada Khamis.
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Pelaksanaan program vaksinasi penduduk Johor akan memberi nilai tambah dan kesan terhadap usaha membuka semula sempadan Malaysia dan Singapura.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, ketika ini rakyat Johor yang berdaftar untuk vaksinasi hanya 700,000 atau kira-kira 27 peratus yang semuanya dilakukan melalui aplikasi MySejahtera.

"Jumlah ini kalau kita lihat masih lagi rendah. Kalau kita dapat daftar lebih ramai saya yakin usaha ini akan menyumbang kepada pembukaan sempada Malaysia dan Singapura dengan lebih cepat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Muzakarah Pelan Pembangunan Mapan Johor 2030 di Pusat Islam Iskandar di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Pada Selasa Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatnya, Dr Vivian Balakrishnan melakukan pertemuan di Putrajaya yang bersetuju mempercepatkan program vaksinasi.

Ini termasuk rakyat Malaysia yang menetap di Singapura dan rakyat Singapura yang menetap di Malaysia.

Menurut Hishammuddin, dengan lebih ramai rakyat melalui proses vaksinasi memudahkan usaha Wisma Putra dan Kementerian Luar Singapura untuk memudah cara dan menyelaras usaha berkenaan.

Hasni berkata, usaha meningkatkan pendaftaran proses vaksinasi perlu dipertingkatkan di peringkat daerah dengan membuka pusat pendaftaran.

Inisiatif itu katanya, tidak seharusnya diserahkan kepada kerajaan sahaja sebaliknya ketua kampung dan pemimpin masyarakat perlu membantu serta memainkan peranan supaya lebih ramai menerima vaksin.

Dalam pada itu, Hasni memberitahu baru selesai mengambil suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin Johor Bahru, Taman Adda di sini jam 10.51 pagi Khamis.

Hasni juga mahu rakyat Johor turut mengambil langkah yang sama bagi memastikan sasaran 80 peratus penduduk mendapat suntikan vaksin dapat direalisasikan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!