X

Kindly register in order to view this article
!

SOP solat Jumaat, fardu di Kelantan diteruskan

TENGKU MOHAMAD RIZAM
A
A

KOTA BHARU - Prosedur operasi standard (SOP) untuk solat Jumaat dan solat lima waktu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan masih diteruskan selepas mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK),Tengku Temenggong, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) solat Jumaat dan lima waktu serta aktiviti di masjid negeri, bandar dan jajahan dilanjutkan bermula 26 Mac sehingga suatu tarikh yang akan diumumkan kelak.

"Kehadiran jemaah perlu mengikut kapasiti dan keluasan masjid manakala jemaah berumur 70 tahun ke atas dibenarkan seramai 50 orang manakala kedudukan antara jemaah berdasarkan penjarakan satu meter.

"Aktiviti-aktiviti di masjid sama ada kuliah Subuh, kuliah Maghrib, kuliah duha dan kelas al-Quran juga dibenarkan dengan kehadiran jemaah mengikut kapasiti dan keluasan masjid," katanya.

Menurutnya, SOP pelaksanaan solat Jumaat dan lima waktu yang lain dikekalkan sebagaimana telah dikeluarkan sebelum ini.

Oleh itu, MAIK berharap kerjasama masyarakat dalam melaksanakan ketetapan tersebut.

"SOP sebagaimana di atas hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau dan musala.

"Tindakan sewajarnya akan diambil jika gagal mematuhi SOP. Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa ALLAH SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!