Kami bukan penjenayah, pengganas: Muda Malaysia

Wei Jiet bersama notis tuntutan untuk diserahkan kepada RoS.
Wei Jiet bersama notis tuntutan untuk diserahkan kepada RoS.
A
A
A

PUTRAJAYA - Parti baharu, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) mempersoalkan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang mengambil masa 30 hari untuk membuat tapisan terhadap tiga penaja baharu parti itu.

Peguam Muda Malaysia, Lim Wei Jiet berkata, RoS dalam maklum balas pada 24 Februari lalu memaklumkan pihak mereka sedang membuat tapisan keselamatan terhadap tiga penaja baharu.

"Kami anak muda hanya ingin mendaftarkan parti. Kami bukan penjenayah, kami bukan pengganas. Kenapa perlu ada tapisan keselamatan?" soalnya ketika ditemui di hadapan Kompleks D, pada Khamis.

Menurutnya, keperluan tapisan keselamatan yang dilakukan RoS tidak munasabah dan tiada dalam peruntukan Akta Pertubuhan.

"Itu hanya kriteria RoS yang bagi kami mereka sendiri yang reka cipta. Ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melengahkan proses rayuan Muda Malaysia," katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 4 Februari.

"Disebabkan tapisan keselamatan, kertas (dokumen) rayuan itu pun belum ada atas meja menteri," katanya.

Sehubungan itu, Wei Jiet yang juga Naib Presiden Muda Malaysia menghantar notis tuntutan kepada RoS supaya mereka mempunyai keputusan rayuan parti itu dalam masa tujuh hari.

Artikel Berkaitan:

"Kalau mereka tidak buat keputusan dalam tempoh terdekat, kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai keperluan untuk menambah tiga penaja baharu, beliau berkata, ia dibuat selepas RoS menolak beberapa senarai penaja sedia ada.

"RoS tidak menerima penaja sedia ada atas alasan alamat di dalam MyKad jauh daripada alamat bekerja mereka sekarang," katanya.