Geng penipuan 'fly by night' diberkas

Yong Lei Choo (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Khamis.
Yong Lei Choo (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memberkas tujuh individu termasuk dalang sindiket penipuan 'fly by night' yang menipu syarikat peralatan komputer, barangan elektrik dan elektronik di sekitar Lembah Klang pada 13 dan 14 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo berkata, seramai tiga lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga India, seorang lelaki dan dua wanita warga tempatan berusia 29 hingga 58 tahun ditahan dalam serbuan itu.

"Kita berjaya merampas 30 jenis pelbagai peralatan komputer, barangan elektrik dan elektronik yang dianggarkan RM500,000 termasuk wang tunai RM121,420," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Khamis.

Lei Choo berkata, pihaknya mendapati sindiket yang aktif sejak empat bulan lalu itu memperdaya 19 syarikat yang menjual peralatan komputer, barangan elektrik dan elektronik serta 'hardware' di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

"Modus operandi sindiket ini adalah mereka membeli barangan elektrik dan elektronik dengan membuat pembayaran menggunakan 'post-dated' cek bertempoh dua minggu sebelum mangsa menunaikan cek berkenaan.

"Namun, mangsa tidak dapat menunaikan cek itu kerana tiada wang di dalam akaun bank tersebut," katanya.

Beliau berkata, kesemua tujuh individu itu direman tujuh hari bermula 13 hingga 20 Mac lalu.

"Mereka juga telah diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Lei Choo, sebanyak 14 kertas siasatan yang dirujuk kepada timbalan pendakwa raya telah mendapat arahan pertuduhan terhadap suspek utama iaitu salah seorang lelaki warga Pakistan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, suspek tersebut juga akan dituduh di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang lelaki warga India akan dituduh di bawah Seksyen 15 (1) akta sama, tangkapan lain akan dijadikan saksi pendakwaan," katanya.