Penduduk bimbang pembinaan projek loji insinerator

Kee Chin (tiga dari kiri), Lee Koon (tiga dari kanan), Yew Weng (dua dari kiri) mengajak penduduk menyatakan tidak terhadap pembinaan projek loji insinerator di Bandar Seri Sendayan.
Kee Chin (tiga dari kiri), Lee Koon (tiga dari kanan), Yew Weng (dua dari kiri) mengajak penduduk menyatakan tidak terhadap pembinaan projek loji insinerator di Bandar Seri Sendayan.
A
A
A

SEREMBAN - Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Rasah mengharapkan maklum balas penduduk khususnya di kawasan Bandar Seri Sendayan dan Seremban 2 berhubung cadangan projek pembinaan loji insinerator di Bandar Seri Sendayan.

Ahli Parlimennya, Cha Kee Chin berkata, sejak malam tadi (Rabu) isu pembinaan projek itu menjadi perbualan di media sosial dan di kumpulan aplikasi WhatsApp selepas sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kebimbangan mengenainya.

Menurutnya, ia berdasarkan laporan oleh Perunding Alam Sekitar bahawa projek berkenaan boleh memberi kesan kepada penduduk sama ada ketika pembinaan projek itu sedang dijalankan atau selepas projek itu disiapkan.

"Ramai penduduk yang telah hubungi saya termasuk doktor-doktor pakar di hospital yang nyatakan kebimbangan berkenaan cadangan pembinaan projek itu dan minta sesuatu dilakukan.

"Jadi saya rasa perlu untuk penduduk terutama yang tinggal dalam radius 15 kilometer sehingga 20 kilometer dari lokasi cadangan tapak projek itu untuk memberikan pandangan dan pendirian mereka," katanya pada sidang media di pejabatnya pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon dan ADUN Mambau, Yap Yew Weng.

Sehubungan itu beliau melancarkan kempen katakan tidak kepada pembinaan projek itu dengan mengajak penduduk menyatakan sokongan.

Beliau berkata, projek itu masih dalam peringkat cadangan dan penting untuk semua pihak memberikan pandangan mereka sebelum ia dimulakan.

Artikel Berkaitan:

"Saya sendiri secara peribadi tidak bersetuju dengan projek itu kerana ia mempunyai risiko tertentu dan saya juga perlu lebih ramai yang tampil ke depan.

"Jadi mulai hari ini sehingga 12 April depan, penduduk boleh sokong kempen ini menerusi borang yang boleh diisi secara online atau boleh datang ke pejabat saya menandatangani borang bantahan," katanya.

Ditanya berkenaan projek itu, beliau berkata, ia bukannya projek di bawah kerajaan negeri sebaliknya dikendalikan oleh pihak swasta.

Kee Chin berkata, beliau sendiri pernah menyatakan bantahan berkenaan pembinaan projek itu di Parlimen pada tahun 2019 atas alasan ia tidak sesuai kerana lokasi pembinaannya yang berada di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk.