Datuk Seri diburu tiada di Pulau Pinang

Sahabudin
Sahabudin
A
A
A

GEORGETOWN - Polis mengesahkan ahli perniagaan, Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33, yang sedang diburu polis Johor tidak berada di Pulau Pinang setakat ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, tiada petunjuk yang mengatakan ahli perniagaan tersebut berada di negeri ini.

Menurutnya, polis Pulau Pinang berkongsi dan menerima maklumat daripada polis Johor untuk mengesan suspek.

"Kita memang ada terima maklumat daripada polis Johor berhubung pemburuan suspek, namun setakat ini tiada kelibat ahli perniagaan itu di sini.

"Bagaimanapun, maklumat mengenainya juga sudah disebarkan kepada kepada semua anggota dan pegawai polis termasuk yang bertugas di sekatan jalan raya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Polis Johor sedang mengesan ahli perniagaan yang merupakan pengasas Winner Dynasty Group, beralamat terakhir di Trigon Residence Unit 1009, Puchong, Selangor.

Lelaki itu dikehendaki bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 130V hingga 130ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini berkata, pihaknya percaya ahli perniagaan itu masih berada di Puchong, Selangor dan sedang menjalankan usaha bagi mengesannya.

Artikel Berkaitan:

Ayob berkata, dua kertas siasatan berkaitan individu itu sudah dibuka di Johor di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sebelum ini, lelaki tersebut ditahan kerana mencederakan dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sedang bertugas di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, Kuala Lumpur, empat tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Johor buru Datuk Seri dalang kes gubah wang haram

Polis nafi Nicky Liow sudah ditangkap