Kes jenayah seksual remaja bawah umur membimbangkan

Abdul Majid (tengah) bersama sebahagian pegawai dan anggota polis yang menerima sijil penghargaan sempena sambutan Hari Polis Ke- 24 Kontinjen Melaka, di IPK Melaka Bukit Beruang di sini pada Khamis.
Abdul Majid (tengah) bersama sebahagian pegawai dan anggota polis yang menerima sijil penghargaan sempena sambutan Hari Polis Ke- 24 Kontinjen Melaka, di IPK Melaka Bukit Beruang di sini pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Kes jenayah seksual membabitkan remaja bawah umur dan pelajar berusia 15 tahun di negeri ini membimbangkan.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, berdasarkan rekod dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, lima kes dicatatkan membabitkan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak manakala sepanjang tahun lalu sebanyak 69 kes dilaporkan.

Menurutnya, umur mereka yang terlibat ialah antara 15 dan 16 tahun dan ada yang berlaku tanpa paksaan.

"Trend baharu ialah golongan muda ini menjadikan apartmen atau hotel sebagai lokasi untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas Perbarisan Hari Polis Ke- 24 Kontinjen Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Bukit Beruang, di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut beliau berkata, golongan berkenaan juga terbuka bercerita dan berkongsi pengalaman mereka melakukan perbuatan tersebut sama ada kepada pasangan atau rakan- rakan lain menerusi telefon bimbit.

Menurutnya, polis dalam proses bekerjasama dengan Persatuan Pesara Polis dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membendung perbuatan itu dan memastikan jenayah seksual tidak terus meningkat.

"Saya menyeru ibu bapa dapat mengawasi tingkah laku dan pergerakan anak mereka supaya terhindar daripada perkara tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, indeks jenayah IPK Melaka merekodkan penurunan sebanyak 26 peratus bersamaan 130 kes dan tidak menolak inisiatif polis menggunakan beberapa pendekatan baharu merencanakan strategik pencegahan jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Antaranya berganding bahu dengan masyarakat. Kita akan menghubungi wakil penduduk atau ahli rukun tetangga untuk mengetahui masalah setempat atau jenayah yang berlaku.

"Aduan berkenaan jenayah dadah dan rempit antara antara yang banyak diterima sejak Disember tahun lalu dan kita akan terus mengambil tindakan," katanya.