X

Kindly register in order to view this article
!

Kedah bangunkan sistem permohonan bantuan awal IPT

Muhammad Sanusi Md Nor
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengambil inisiatif membangunkan Sistem Permohonan Bantuan Awal Kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dikenali sebagai iBAKIPT demi memudahkan permohonan bantuan ketika pandemik Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pandemik Covid-19 telah mengubah normal baharu dan amalan biasa kehidupan orang awam.

Menurutnya, sehubungan itu, iBAKIPT dibangunkan melalui inisiatif Kedah Produktif dan Kedah Digital bagi memudahkan anak Kedah membuat permohonan atas talian sahaja.

"Jadi, mereka boleh mengemukakan permohonan bantuan awal kemasukan IPT di mana-mana sahaja dengan memasuki laman sesawang sppnk.kedah.gov dengan memuat naik dokumen diperlukan tanpa perlu hadir ke Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti sebelum ini.

"Antara yang diperlukan ialah dokumen sokongan disahkan, salinan kad pengenalan pemohon, salinan kad pengenalan ibu atau bapa atau penjaga, salinan surat tawaran kemasukan atau surat pengesahan IPT dan salinan resit bayaran pendaftaran masuk IPT,"katanya kepada pemberita pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, sebanyak RM1 juta peruntukan disediakan dalam Belanjawan 2021 bagi bantuan awal kemasukan ke IPT untuk pemohon diterima masuk ke IPT dalam negara atau luar negara sepenuh masa dengan kadar RM300 setiap orang.

Katanya, permohonan berkenaan hanya untuk pemohon atau ibu atau bapa lahir ataupun bermastautin di Kedah melibatkan sambungan pengajian peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda bagi tahun ini.

"Permohonan hendaklah dibuat bagi kemasukan kali pertama untuk setiap satu tahap pengajian sahaja yang dibuka sekarang hingga tarikh tutup pada 1 Disember 2021,"katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, insentif ditawarkan kepada peminjam Pembiayaan Pendidikan Negeri Kedah (PPNK) Penukaran Pinjaman Boleh Ubah kepada Biasiswa dengan diskaun 100 peratus kepada peminjam yang mendapat keputusan cemerlang dengan gred purata Kumulatif 3.75 ke atas.

Katanya, selain itu, diskaun sebanyak 50 peratus atas baki keseluruhan pinjaman turut ditawarkan kepada peminjam yang mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif 3.50 sehingga 3.74.

"Bagi tahun 2021 sehingga 2 Mac 2021, seramai empat peminjam telah dikenal pasti layak menerima biasiswa dengan diskaun 100 peratus,manakala lapan peminjam layak menerima diskaun 50 peratus," katanya.

Tambah beliau, sehingga 2 Mac 2021, jumlah keseluruhan pemberian diskaun 100 peratus dan diskaun 50 peratus adalah sebanyak RM189,366.98.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata, diskaun 100 peratus atau diskaun 50 peratus ini hanya untuk peminjam yang menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa dan mengikuti pengajian di IPT dalam negara sahaja.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!