Enam pemancing dikhuatiri hilang di laut

Bot nelayan kelas A Ini dinaiki enam sekawan untuk keluar memancing di laut pada Isnin. - Foto ihsan Maritim Malaysia
Bot nelayan kelas A Ini dinaiki enam sekawan untuk keluar memancing di laut pada Isnin. - Foto ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

KEMAMAN - Enam sekawan termasuk dua remaja dikhuatiri hilang di laut selepas keluar memancing sejak Isnin lalu dengan menaiki sebuah bot kayu.

Tekong bot, Mohd Hafizrul Hisham Zakaria, 29; Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19; Muhamad Hazim Luqman Zakaria, 19; Mohamad Zukarnain Mohamad Nor, 20; Rosidi Mohamad, 22, dan Mohamad Shamrin Suhaimi, 19, dilaporkan keluar memancing di kawasan perairan Kuala Kemaman di sini.

Kesemua mereka masing-masing dari Kampung Paya Berenjut dan Kampung Gong Pauh di sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kehilangan enam sekawan itu hanya diketahui selepas kakak kepada salah seorang daripada mereka tampil membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Chukai di sini jam 1.40 tengah hari pada Rabu.

"Wanita berusia 29 tahun itu memaklumkan dia hanya mengetahui adik lelakinya keluar memancing bersama lima lagi rakan mereka selepas diberitahu ibunya kira-kira jam 8 pagi pada Isnin.

"Adiknya memberitahu akan keluar memancing hanya untuk dua hari tetapi sehingga kini masih belum pulang dan lebih merisaukannya apabila kesemua mereka tidak dapat dihubungi.

"Bimbang akan keselamatan mereka, wanita tersebut terus tampil membuat laporan untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya mengaktifkan Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuantan serta mengkoordinasikan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) di laut bermula jam 3.15 petang Selasa.

Artikel Berkaitan:

"Maklumat awal kehilangan mereka disalurkan kepada aset-aset Maritim yang melakukan rutin rondaan bagi membuat pemantauan dan pengesanan.

"Operasi turut dibantu oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot tersebut dalam lingkungan 20 hingga 30 batu nautika dari pantai Kemaman," katanya ketika dihubungi.