Polis penuhi impian kanak-kanak hidap leukemia

Noorzainy memakaikan beret polis kepada Muhammad Firash Arryan sebelum dibawa menaiki MPV polis.
Noorzainy memakaikan beret polis kepada Muhammad Firash Arryan sebelum dibawa menaiki MPV polis.
A
A
A

KEPALA BATAS - Impian seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit leukemia tahap empat untuk menaiki kenderaan peronda polis (MPV) terlaksana apabila dia diraikan dalam satu majlis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) pada Khamis.

Lebih bermakna apabila Muhammad Firash Arryan Muhammad Yusri yang berusia 6 tahun itu turut diraikan bersama-sama dengan sambutan Hari Polis ke-214.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai impian kanak-kanak itu yang berhajat untuk menaiki MPV Polis berikutan minatnya dengan tugas anggota keselamatan ini.

Menurutnya, bagi memenuhi impian Muhammad Firash Arryan pihaknya mengambil kesempatan sempena Hari Polis untuk merealisasikan hasrat kanak-kanak itu dengan membawanya menaiki MPV mengelilingi kawasan sekitar kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah SPU.

“Pastinya kami rasa gembira kerana dapat memenuhi impian Muhammad Firash Arryan.

"Jelas kelihatan raut wajahnya yang seronok apabila diberi peluang menaiki MPV Polis dan memberi kelegaan kepada kami yang dapat memberikan kebahagiaan kepada masyarakat walaupun dalam kesibukan tugas mencegah jenayah serta penularan wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Noorzainy memakaikan beret polis kepada Muhammad Firash Arryan sebelum dibawa menaiki MPV polis.
Noorzainy memakaikan beret polis kepada Muhammad Firash Arryan sebelum dibawa menaiki MPV polis.

Sementara itu, ibu Muhammad Firash Arryan, Aida Royani Abdul Razak, 30 berkata, anaknya meluahkan rasa teruja untuk bertemu polis dan menaiki MPV sejak malam Rabu.

Artikel Berkaitan:

“Dia memang minat dengan polis sejak kecil dan semalam nampak sangat dia teruja apabila dimaklumkan yang kami akan bawa dia naik MPV polis. Memang dia nampak seronok sangat bahkan asyik tersenyum sahaja dari awal hingga selesai dia dibawa meronda dan ia sangat melegakan kami.

“Terima kasih kepada warga polis SPU yang menunaikan hajat kecil anak saya walaupun dalam kesibukan bertugas dan segala budi baik yang diberikan tidak mampu saya membalasnya,” katanya.

Muhammad Firash dikesan menghidap leukemia pada awal 2019 dan kini sudah tidak ada lagi rawatan untuk kanak-kanak itu memandangkan sel kanser mula merebak ke dalam tulang dan otak.

Aida berkata, doktor turut memaklumkan bahawa hati dan limpa kanak-kanak itu sudah membengkak selain turut mengalami pendarahan usus serta lapisan bawah kulit menjadi lebam.

Katanya, sebelum ini keadaan Muhammad Firash bertambah baik apabila dia boleh hadir ke tadika namun sel kansernya kembali menyerang hingga menyebabkan keadaan kesihatannya merosot.