X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

Anggota polis pinjam ah long boleh dikenakan tindakan tatatertib

Hasanuddin (empat, kiri) beramah mesra dengan penerima sijil penghargaan mewakili Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) pada Khamis.
A
A

ALOR SETAR - Anggota serta pegawai polis di Kedah diingatkan agar tidak terjebak dengan aktiviti pinjaman wang daripada ah long.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, ini kerana perbuatan itu boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan tatatertib.

Menurutnya, anggota dan pegawai polis perlu mendapatkan kebenaran ketua jabatan terlebih dahulu, sebelum membuat sebarang pinjaman wang.

“Meminjam wang daripada ah long merupakan satu kesalahan tatatertib, walaupun ah long berlesen sebab dia pinjam tanpa saluran betul dan tanpa kebenaran ketua jabatan,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) pada Khamis.

Hasanuddin berkata, siasatan dalaman turut dijalankan terhadap anggota terlibat selain terpaksa berdepan ancaman ugutan daripada ah long sekiranya gagal membuat pembayaran balik.

“Andai kata anggota itu pinjam duit ah long, katalah dia gagal bayar pinjaman, rumah disimbah cat dan mangsa membuat laporan polis, kita akan siasat dari aspek kes ah long dan pada masa sama lakukan siasatan dalaman terhadap anggota berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan membabitkan isu pinjaman wang ah long membabitkan anggotanya.

“Di sini tak ada, kalau senyap-senyap tak tahu lah. Setakat ini tiada rekod. Namun sebagai peringatan, kalau pinjam ah long, pandai lah tanggung risiko,” katanya.

Pada majlis sambutan bertemakan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, Polis Kedah turut memberi penghargaan kepada ahli masyarakat yang bersama-sama membantu PDRM membanteras jenayah secara berterusan untuk memastikan negara sentiasa dalam keadaan aman dan selamat.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!