Kerajaan benar lucut RM48 juta daripada bapa Jho Low

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan dibenarkan untuk melucut wang lebih RM48 juta yang dirampas daripada Tan Sri Larry Low Hock Peng, bapa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ia diputuskan selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan lucut hak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan aset bapa ahli perniagaan kontroversi, Low Teak Jho atau Jho Low.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shafinaz Shabudin memberitahu mahkamah, tiada pihak ketiga hadir bagi mencabar pelucutan hak berkenaan.

“Hari ini ditetapkan untuk hujahan pihak ketiga bagi mencabar permohonan lucut hak, tetapi tiada pihak yang tampil berbuat demikian,” katanya.

Pada 19 April 2019, mahkamah mengeluarkan notis supaya pihak ketiga atau yang berkepentingan dalam akaun bank milik Larry yang dibekukan untuk tampil mengemukakan tuntutan.

Pada 29 Mac 2019 lalu, kerajaan selaku pemohon memfailkan notis usul dan afidavit lucut hak ke atas tujuh akaun bank milik Larry dikatakan bernilai RM48 juta.

Berdasarkan peruntukan itu, mahkamah memanggil pihak ketiga atau yang berkepentingan terhadap wang dalam akaun milik responden untuk hadir ke mahkamah.

Pendakwaan memfailkan permohonan untuk melucut hak harta itu dengan alasan baki wang akaun itu berpunca daripada perolehan salah melalui syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Artikel Berkaitan:

Wang yang dirampas termasuk tujuh akaun daripada bank RHB dan Maybank Berhad (MBB) masing-masing di KLCC, Kuala Lumpur dan Plaza Gurney, Pulau Pinang.

Harta terbabit adalah wang berjumlah RM20,784,952.56 dengan faedah dalam akaun semasa atas nama Hock Peng (responden) di RHB yang disita pada 11 Disember 2018.

Turut disita empat lagi akaun RHB masing-masing berserta faedah, wang berjumlah RM300,000, RM500,000 dan RM20 juta.

Bagi akaun MBB jumlah terbabit termasuk faedah ialah RM6,613,970.78, RM462,618.38 dan RM318,021.95.

Kesemua akaun itu adalah akaun simpanan tetap dan semasa yang disita pada Disember 2018 dan 31 Januari 2019.