Suspek rompak penyelia taska dikenalpasti

Roslee (kiri) menyerahkan sijil Anugerah Intergriti dan Tolak Rasuah kepada salah seorang pegawai polis sempena Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-214 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Khamis.
Roslee (kiri) menyerahkan sijil Anugerah Intergriti dan Tolak Rasuah kepada salah seorang pegawai polis sempena Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-214 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis telah mengenal pasti suspek yang merompak penyelia wanita di sebuah taska di Kuala Berang, Hulu Terengganu dengan bersenjatakan senapang angin dalam kejadian pada Selasa lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, tangkapan terhadap suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 40-an dipercayai penagih dadah hanya menunggu waktu yang sesuai sahaja.

"Alhamdulillah kita percaya kes yang disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata melibatkan mangsa berusia 56 tahun ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat ini.

"Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengenalpasti sama ada suspek turut terlibat dalam kes rompakan lain yang dilaporkan berlaku di daerah tersebut sebelum ini ataupun individu lain.

"Kami juga percaya senjata digunakan suspek dalam rompakan itu adalah buatan sendiri," katanya kepada pemberita selepas ditemui sempena Majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis ke 214, di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi Selasa lalu, seorang penyelia taska di Kuala Berang, Hulu Terengganu berdepan detik cemas apabila seorang lelaki menceroboh masuk melalui pintu belakang taska sebelum mengacukan senapang angin di dahi sambil meminta wang.

Semasa kejadian, mangsa berada di bahagian dapur premis berkenaan dan siasatan awal mendapati suspek telah menceroboh masuk melalui pintu belakang taska.

Mangsa mengalami kerugian wang tunai RM4,000 selain turut kehilangan barangan kemas, telefon bimbit dan dokumen peribadi.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Penyelia taska dirompak lelaki bersenjata senapang angin

Dalam perkembangan lain, Roslee mengesahkan dua kertas siasatan dibuka melibatkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Kemaman, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, 51.

"Di sini (Terengganu), kita hanya menerima laporan dibuat bekas ADUN tersebut berkait sengaja mendatangkan kecederaan yang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan melakukan khianat di kediaman yang disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan sahaja.

"Kedua-dua kertas siasatan kini sudah pun selesai dan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan seterusnya," katanya.

Jelas Roslee, pihaknya difahamkan kes tersebut melibatkan antara mangsa dan rakan baiknya yang ada berkait dengan hutang RM200,000 tahun lalu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang ahli politik bergelar Datuk didakwa mencabul isteri rakan baiknya di rumah wanita itu di Taman Bukit Melawati, Kuala Lumpur tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, polis menerima laporan kejadian daripada mangsa yang berusia 48 tahun, pada 16 Mac lalu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.