Wales merana akibat kesilapan mudah

Bale (kanan) menyifatkan kesilapan mudah dilakukan pasukannya menyumbang kepada kekalahan 1-3 kepada Belgium.
Bale (kanan) menyifatkan kesilapan mudah dilakukan pasukannya menyumbang kepada kekalahan 1-3 kepada Belgium.
A
A
A

BEBERAPA kesilapan mudah yang dilakukan oleh Wales menyaksikan pasukan itu terpaksa berputih mata selepas tewas 1-3 kepada Belgium dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 di Stadium Den Dreef, pada awal pagi Khamis.

Pemain sayap Wales, Gareth Bale berkata, pasukan itu perlu memperbaiki corak permainan dan mengelakkan kesilapan mudah tersebut sekiranya mahu layak ke saingan Piala Dunia tersebut.

"Ia sesuatu yang bagus untuk mendapat gol awal dan perlawanan berkenaan berlangsung dengan baik buat kami. Namun, beberapa kesilapan mudah yang kami lakukan menyebabkan lawan mampu bangkit menewaskan kami.

"Kami tahu mereka merupakan pasukan yang bagus dan apabila kami melakukan kesilapan, mereka akan menghukum kami. Pada separuh masa kedua, kami kehilangan rentak. Secara jujurnya kami kecewa kerana kalah, namun tahu betapa sukarnya beraksi di sini dan perlu ambil positif," katanya.

Dalam perlawanan tersebut, Bale melakukan bantuan gol untuk Harry Wilson menjaringkan gol pembukaan buat Wales sebelum Belgium membalas dengan tiga gol menerusi Kevin De Bruyne, Thorgan Hazard dan Romelu Lukaku.

Bale bagaimanapun menegaskan kekalahan tersebut tidak mematikan semangat pasukan apatah lagi perjalanan kelayakan tersebut masih panjang dan peluang untuk Wales mara masih terbuka luas.

"Kami tahu jika Belgium mendapat gol penyamaan dan dapat menjaringkan gol seterusnya, kami akan mengalami kekalahan. Namun, kami menunjukkan semangat dan akan menggunakan perlawanan ini sebagai panduan kami untuk perlawanan seterusnya," katanya.

Artikel Berkaitan: