Polis Johor buru bekas timbalan pendakwa raya

Ayob Khan menunjukkan bekas Timbalan Pendakwa Raya yang diburu.
Ayob Khan menunjukkan bekas Timbalan Pendakwa Raya yang diburu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor memburu seorang bekas timbalan pendakwa raya bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram dan jenayah komersial.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek Md. Azar Izwan Mohd. Arifin @ Datuk A. Janus, 42, merupakan individu penting dalam kegiatan sindiket itu, selain dipercayai mempunyai kaitan berhubung kes Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee, 33.

"Suspek adalah bekas timbalan pendakwa raya yang telah menamatkan perkhidmatan. Kita percaya dia telah melarikan diri dan alamat terakhirnya di Puchong, Selangor.

"Sehubungan itu, kita minta kerjasama mana-mana individu atau ahli keluarga yang mempunyai maklumat berhubung kedudukan suspek, untuk berhubung dengan Asisten Superintendan V.Prakash di talian 012-5209767," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari Polis Ke 214 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, Khamis.

Md. Azar Izwan Mohd. Arifin @ Datuk A. Janus
Md. Azar Izwan Mohd. Arifin @ Datuk A. Janus

Menurutnya, setakat ini, polis telah menahan 92 suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket itu di Puchong, Selangor.

Daripada jumlah itu, 40 individu ditahan di bawah Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012) dan bakinya dibebaskan setelah dibuat tapisan kerana tidak terlibat.

"Kita yakin ada lagi individu akan diberkas dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Polis Johor buru Datuk Seri dalang kes gubah wang haram

Pada Ahad lalu, Ayob Khan dalam sidang akhbar di IPK Johor memaklumkan, Polis Johor memburu Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee.

Suspek merupakan pengasas Winner Dynasty Group itu dikehendaki untuk siasatan di bawah Seksyen 130 V hingga 130 ZB Kanun Keseksaan bagi kesalahan kumpulan jenayah terancang.