Griezmann persoal taktikal Perancis

Antoine Griezmann
Antoine Griezmann
A
A
A

PENYERANG Perancis, Antoine Griezmann mempersoalkan taktikal yang digunakan The Blues ketika hanya mampu seri 1-1 dengan Ukraine dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 di Stade de France pada awal pagi Khamis.

Menurutnya, taktikal yang digunakan pengendali Perancis, Didier Deschamps menyukarkan pemain untuk menyesuaikan diri dan memberikan masalah dalam menampilkan persembahan sebenar juara dunia itu.

"Perancis bermain dengan formasi 4-4-2 yang sedikit memberikan kesukaran kepada pemain menyesuikan diri dengan formasi tersebut yang mungkin menyumbang kepada keputusan seri ini.

"Kami mungkin memerlukan lebih ramai pemain di bahagian serangan yang mampu menewaskan pemain ketika situasi satu lawan satu. Namun, kami akan cuba bermain dalam sistem baharu ini dan cuba mencipta kemenangan.

"Kami mahu menang, tetapi kami tidak bermain dengan bagus. Kami akan cuba menyesuaikan diri dan cuba meningkatkan persembahan kami dengan formasi baharu ini," katanya.

Pada perlawanan kali ini, Deschamps menggunakan formasi 4-4-2 berbanding formasi asal 4-2-3-1 yang sering digunakan The Blues sebelum ini.

Griezmann membuka tirai jaringan buat Perancis pada minit ke-19 dan gagal untuk mencari gol tambahan sebelum gol sendiri Presnel Kimpembe memberikan jaringan penyamaan kepada Ukraine pada minit ke-57.

Dalam pada itu, Deschamps mempertahankan corak formasi baharu yang digunakannya itu dengan menegaskan pemain seharusnya dapat menjaringkan lebih banyak gol terutama pada babak pertama perlawanan.

Artikel Berkaitan:

"Kami sepatutnya mengesahkan kemenangan pada separuh masa pertama kerana kami mempunyai peluang. Segalanya menjadi lebih sukar pada separuh masa kedua. Gol yang kami lepaskan memang sukar dielakkan.

"Namun, selepas gol penyamaan itu, kami cuba mengasak lawan, tetapi tidak berjaya. Kami kecewa kerana perlawanan ini sebenarnya kami boleh menang. Kami kekurangan tenaga pada separuh masa kedua," katanya.