Dua anjing pengesan terima anugerah Ketua Polis Johor

Dari kanan: Lans Koperal K. Thiru bersama Mailo dan Lans Koperal Calvin Maluni bersama Barny yang menerima penghargaan Ketua Polis Johor, pada Khamis.
Dari kanan: Lans Koperal K. Thiru bersama Mailo dan Lans Koperal Calvin Maluni bersama Barny yang menerima penghargaan Ketua Polis Johor, pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua ekor anjing pengesan Unit K9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menerima Anugerah Ketua Polis Johor sempena Sambutan Hari Polis Ke 214, pada Khamis.

Kedua-dua anjing jenis German Shepherd itu iaitu Mailo yang berusia tiga tahun empat bulan dan Barny, tiga tahun dua bulan menerima penghargaan itu di atas kejayaan mengesan mayat sehingga dapat menyelesaikan beberapa kes berprofil tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menyampaikan pingat, sijil penghargaan dan makanan kepada kedua-duanya melalui pelatih mereka, Lans Koperal K. Thiru (Mailo) dan Lans Koperal Calvin Maluni (Barny).

Ayob Khan ketika ditemui berkata, antara kejayaan berkenaan ialah menyelesaikan kes pembunuhan seorang wanita berusia 38 tahun di Kota Tinggi, awal Mac lalu oleh suaminya sendiri.

"Mailo dan Barny juga berjaya membantu kita menyelesaikan kes pembunuhan seorang pesara polis, Su Kim Chiang, 57, dengan penemuan mayat yang ditanam di sebuah 'kubur' di Kampung Selatan Kahang, Kluang pada tahun lalu.

"Anjing ini sudah bersama kontinjen Johor sejak dua tahun lalu. Kedua-duanya banyak memberi sumbangan dan jasa kepada kontinjen Johor. Peranan unit K9 ini memberi sumbangan bukan sahaja kepada kontinjen Johor malah kepada PDRM di seluruh negara.

"Dalam kes mencari dan mengesan mayat, unit ini memainkan peranan penting. Sebab itu kali ini kita memberi penghargaan kepada pengendali serta anjing itu sendiri," katanya.

Sebelum itu, beliau menghadiri Sambutan Hari Polis Ke 214, di Dataran Kawad, IPK Johor.

Artikel Berkaitan:

Sambutan itu dimulakan dengan perbarisan pada jam lapan 8.00 pagi sebagai menghormati dan mengenang tarikh penubuhan pasukan polis, disusuli pemeriksaan kawalan kehormatan melibatkan 500 pegawai dan anggota kontinjen Johor serta orang awam.

Ayob Khan seterusnya membacakan perutusan Ketua Polis Negara, sebelum menyampaikan sijil penghargaan kepada 139 penerima terdiri daripada pegawai dan anggota polis serta orang awam serta 27 penerima sijil penghargaan Ketua Polis Negara.