Agong zahir ucapan Selamat Hari Polis ke -214 kepada warga PDRM, pesara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Polis ke-214 kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk veteran dan pesara polis.

Seri Paduka Baginda menzahirkan setinggi penghargaan kepada warga PDRM atas khidmat bakti, komitmen dan pengorbanan anggota dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan negara serta ketenteraman awam terus terjamin.

Baginda turut menzahirkan setinggi penghargaan dan rasa bangga kepada seluruh warga PDRM di atas pengorbanan yang dicurahkan tanpa mengira penat lelah dan masa sebagai petugas barisan hadapan dalam memerangi wabak Covid-19 sejak dari tahun lepas.

“Semoga warga PDRM akan terus kental dan bersemangat memberi khidmat demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia,” menurut kenyataan dimuat naik Facebook Istana Negara, pada Khamis.

Dalam hantaran sama, Al-Sultan Abdullah turut mendoakan agar seluruh warga PDRM dirahmati dan dilindungi ALLAH SWT daripada segala bentuk ancaman dan musibah serta para pahlawan negara yang telah terkorban ditempatkan bersama para solihin. - Bernama

Artikel Berkaitan: