Usah cemari mimbar masjid

A
A

PADA tahun 2015, pengasas bersama dan Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty, Eric Paulsen telah dikritik hebat selepas menulis di Twitter: "Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia.”

Ciapan 'jahat' itu telah membangkitkan kemarahan umat Islam pada ketika itu. Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan, Paulsen tidak sepatutnya melibatkan diri dalam perkara sedemikian memandangkan khutbah merupakan rukun dalam solat Jumaat.

Di Kuala Krai, Kelantan pula, matlamat khutbah dibimbangi cuba 'diselewengkan' apabila seorang imam didakwa mengucapkan kata-kata berbaur politik untuk mempengaruhi rakyat supaya mengundi parti pembangkang pada PRU13 lalu.

Ternyata, peranan khutbah Jumaat meskipun sekali seminggu dianjurkan, ia amat signifikan. Jika tidak, tiadalah unsur-unsur politik yang dicampur-adukkan dalam khutbah. Itu belum ambil kira khutbah yang lari daripada teks asal.

Pun demikian, ada yang melontarkan justifikasi kononnya intipati khutbah sejak kebelakangan ini tidak selari dengan perkembangan semasa termasuk tiada nilai kemanusiaan bersama di antara agama.

Sedangkan, peranan khutbah ialah sebagai platform penerangan, medium pembentukan akhlak dan amar makruf nahi mungkar, lidah kebenaran dan komunikasi dakwah serta pentas terbaik menanam kefahaman Islam.

Pengaruh khutbah juga bukan calang-calang.

Keberkesanannya dikatakan lebih efektif dibandingkan dengan wadah lain jika diambil kira dari aspek jumlah pendengar.

Seorang pensyarah, Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi baru-baru ini menulis tentang khutbah yang bertajuk 'Khutbah kita perlu berubah' dalam kolum Cetusan, Sinar Harian.

Beliau antara lain berkata, penulis khutbah di jabatan-jabatan agama perlu menilai semula isi kandungan khutbah dan gaya penyampaian.

Beliau juga membangkitkan mengapa kandungan khutbah tidak membicarakan tragedi alam sekitar sebagai aspek empati keislaman? Pada masa sama, Mohd Tajuddin juga mendakwa, penulis khutbah tidak langsung meraikan atau memuji nilai-nilai agama lain yang sama nilainya dengan Islam.

Sebagai seorang yang mendengar khutbah selama 40 tahun, barangkali Mohd Tajuddin mempunyai asas kepada komentarnya.

Rancang

Bagi mengulas hal tersebut, Sinar Islam mendapatkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim.



HARIS
HARIS

Jelas Haris, Jais mempunyai 'bank' khutbah selama setahun yang meliputi pelbagai aspek dan topik.

Jika ada isu semasa yang mendesak berlaku pada masa-masa tertentu, pihaknya akan menyediakan teks khutbah Jumaat mengikut perkembangan terkini, ujarnya.

Haris menambah, topik-topik khutbah sememangnya sudah dirancang sejak awal lagi iaitu setahun sebelumnya yang diperoleh menerusi bengkel, menjemput penulis-penulis tertentu, pertandingan menulis khutbah atau daripada pelbagai agensi berkaitan.

"Biasanya, Jais akan berikan mereka tajuk dan mengikut skema disediakan Jais. Terdapat 12 panel akan melakukan semakan sebelum teks khutbah itu diluluskan," kata beliau.

Berdasarkan rekod, di sekitar negeri Selangor, terdapat 424 buah masjid dan 274 surau yang diberi kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat.

Pun begitu, beliau mengakui, ada beberapa masalah dalam soal pembacaan khutbah oleh imam (khatib) yang tidak kena dengan halwa telinga jemaah menyebabkan isinya kurang dihayati dengan sepenuhnya.

Lebih menyedihkan, akuinya, kadangkala khutbah yang disediakan cukup bagus. Namun, sayangnya, cara penyampaian khatib di sesetengah masjid tidak menepati kehendak jemaah.

"Dia baca khutbah macam baca buku," ujarnya sambil memberitahu JAIS turut menyediakan kursus membaca khutbah kepada mereka.

Kepada satu soalan, Haris berkata: "Kita ada khutbah tajuk-tajuk yang menarik tetapi tidak boleh hendak perincikan. Bukan kita tak sebut atau sentuh pasal bab penyatuan ummah seperti agama lain dan sebagainya tetapi disebabkan masa yang pendek."

Bagaimana pula kes yang mengaitkan khatib yang 'tergelincir' ketika membacakan teks khutbah yang diberikan?

Jawab beliau: "Kami boleh ambil tindakan termasuk memecat mereka yang ingkar arahan. Mereka juga tidak boleh menokok tambah sebarang isu di dalam teks yang telah disediakan. Apatah lagi membuat teks khutbah sendiri. Kita kena ingat, khutbah ini sebagai satu wadah untuk orang dapatkan sumber maklumat."

Harmoni

Penulis turut mendapatkan pandangan Imam 1 Masjid Albukhary, Kuala Lumpur, Syeed Muhammad Lutfi Wan Yusuf.



SYEED MUHAMMAD LUTFI
SYEED MUHAMMAD LUTFI

"Menjadi amalan kami di sini, mengikut teks yang disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi). Jika ada jemputan khatib luar, kami akan pastikan khatib itu tidak bercakap tentang isu-isu sensitif," jelasnya.

Berhubung soal khutbah yang mengikuti perkembangan terkini atau sebaliknya, bagi Syeed Muhammad Lutfi, ia bukanlah perkara pokok.

"Bagi saya, intipati khutbah hendaklah dibuat secara berhati-hati. Jangan melepas batuk di tangga sahaja. Jangan hanya up to date sahaja. Perlu diingat manusia perlu bekalan dan sebaik-baik bekalan adalah takwa," katanya.

Ujar Syeed Muhammad Lutfi lagi, khutbah boleh menjadi alat perpaduan antara kaum jika semua kaum mempunyai pemahaman yang cukup dan jelas.

Sementara itu, Ketua Imam Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, Ustaz Yahya Mahyuddin Utoh Said berkata, khutbah adalah medium untuk kita kembali sedar tentang isi ajaran Islam untuk hidup berharmoni dalam pelbagai kaum.




YAHYA MAHYUDDIN
YAHYA MAHYUDDIN

Beritahunya, di masjid yang dikendalikannya, khutbah disampaikan menerusi teks yang disediakan oleh pihak Jawi.

Ujarnya lagi, pada setiap tahun, Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid akan mengadakan latihan kepada para imam bagi menjadikan gaya penyampaian mereka lebih menepati keadaan semasa termasuklah mematuhi peraturan membaca teks yang diberikan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia