Felcra hasilkan DS 3-Wheeler

Abdul Rahman menaiki model DS Black Bull sebagai simbolik melancarkan Mekanisasi Ladang 3-Roda di Pusat Servis dan Mekanikal Felcra Seberang Perak, Kampung Gajah, Pasir Salak pada Selasa.
Abdul Rahman menaiki model DS Black Bull sebagai simbolik melancarkan Mekanisasi Ladang 3-Roda di Pusat Servis dan Mekanikal Felcra Seberang Perak, Kampung Gajah, Pasir Salak pada Selasa.
A
A
A

PASIR SALAK - Mekanisasi Ladang 3-Roda (DS 3-Wheeler) yang diperkenalkan Felcra Berhad diyakini dapat meningkatkan produktiviti pekerja sekali gus mengatasi kebergantungan kepada tenaga kerja asing di sektor perladangan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, penggunaan tiga model mampu milik iaitu DS Blackbull, DS Scorpion dan DS Panther itu dijangka mengurangkan kos upah pekerja sehingga 25 peratus pada kadar semasa.

Menurutnya, pembangunan jentera di bawah Felcra Bekalan dan Perkhidmatan Sdn Bhd (Felcra Bekalan) tepat pada masanya apabila negara menerima tempahan tinggi pengeksportan minyak sawit ke Arab Saudi.

“Mekanisasi baharu itu memberi impak positif kepada industri komoditi sawit kerana dapat meningkatkan produktiviti pengurusan ladang dengan memudahkan kerja seperti mengangkut, memunggah, meracun dan membaja.

“Pengurusan perladangan yang efektif akan membantu mengeluarkan hasil lebih optimum meskipun sektor ini mengalami kekurangan tenaga asing akibat pandemik Covid-19,” katanya selepas melancarkan Mekanisasi Perladangan 3-Roda di Pusat Servis dan Mekanikal Felcra Seberang Perak, Kampung Gajah di sini pada Selasa.

Abdul Rahman berkata, jentera DS 3-Roda hasil pemasangan tempatan itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada agensi dan anak syarikat di bawah kementerian itu serta peladang kecil.

“Agensi yang terlibat dalam sektor perladangan diharapkan dapat menggunakan jentera ini sepenuhnya untuk meningkatkan pengeluaran hasil dan pendapatan.

“Dalam tempoh lapan bulan, dijangka lebih 200 unit jentera boleh dipasarkan. Setakat ini lebih 60 unit telah terjual dan permintaan akan terus meningkat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Keperluan mekanisasi perladangan tempatan

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felcra, Mohd Nazrul Izam Mansor berkata, inisiatif Felcra memperkenalkan Mekanisasi Ladang 3-Roda dijangka dapat meningkatkan kira-kira 30 peratus produktiviti ladang serta menambah pendapatan kepada hampir 112,000 peserta di seluruh Malaysia.

“Pengurangan lebih 3,000 pekerja dalam sektor perladangan tahun lalu akibat pandemik Covid-19 memangkin penerokaan pertanian digital oleh Felcra Berhad selari dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Menurutnya, mekanisasi perladangan yang dihasilkan itu berupaya mengurangkan kos input dan kos operasi pengurusan ladang di samping mengekalkan hasil tinggi.

“Kekurangan tenaga pekerja sememangnya akan mengurangkan pendapatan peserta walaupun harga sawit kini tinggi. Penuaian merupakan proses penting di ladang yang perlu dilakukan dalam tempoh 24 jam.

“Jadi, mekanisasi 3-Roda yang diperkenalkan ini adalah satu daripada usaha kami dalam meningkatkan produktiviti ladang milik peserta jika dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Model 3-Roda dipasang anak tempatan di Pusat Servis Kenderaan dan Mekanikal Felcra Seberang Perak, Pasir Salak.
Model 3-Roda dipasang anak tempatan di Pusat Servis Kenderaan dan Mekanikal Felcra Seberang Perak, Pasir Salak.

Mohd Nazrul Izam berkata, pihaknya menetapkan objektif utama untuk memperkenalkan penggunaan mekanisasi itu kepada agensi perladangan lain.

“Secara logiknya ketiadaan pekerja akan diganti dengan penggunaan mesin. Justeru, apabila model ini berjaya dibuktikan keberkesanan sudah tentu permintaan akan turut meningkat.

“Kita akan memastikan jualan dan servis dilakukan dengan sempurna. Mekanisasi 3-Roda ini mempunyai jaminan ‘satu untuk satu’ selama enam bulan pastinya memberi lebih jaminan dan keselesaan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata, Felcra turut menyasarkan untuk membuka hab kenderaaan pemasangan tempatan (CKD) mekanisasi perladangan 3-Roda di negara ini.

Mudahkan kerja fizikal

Ketua Mekanik Bengkel Felcra Seberang Perak, Miskandar Muhayat berkata, 3-Roda yang dipasang pasukannya amat sesuai digunakan dalam pelbagai sektor termasuk agrikultur dan penternakan bagi memudahkan kerja fizikal.

“Model-model yang diperkenalkan ini dapat meringankan kerja kerana fungsinya sebagai pengangkutan, memunggah dan lain-lain,” katanya.

Katanya, kejayaan pemasangan dan penggunaan jentera itu akan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.