Ke arah pendidikan berkualiti

No Image Caption
A
A
A

BARU-BARU ini saya dijemput untuk memberi ucaptama dalam satu webinar anjuran Institut Masa Depan Malaysia dengan tajuk ‘Pendemokrasian Pendidikan Ke Arah Kemakmuran Bersama’.

Dalam ucaptama tersebut, saya cuba menyelami perasaan seorang pelajar di pedalaman dengan menunjukkan bagaimana satu pendemokrasian dalam pendidikan boleh berlaku. Berikut dikongsikan sebahagian daripada ucaptama saya tersebut:

“Saya pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Kebangsaan Nanga Nungun di Kanowit, Sarawak. Saya tinggal di sebuah rumah panjang yang hanya menggunakan generator pada waktu malam untuk memasang lampu.

“Rumah kami tidak ada komputer, jauh sekali internet. Bapa dan ibu saya bekerja di ladang lada hitam.

Saya mempunyai sembilan adik beradik. Saya anak keempat. Abang dan dua kakak saya mengikut ibu dan bapa bekerja di ladang lada hitam sebaik sahaja selepas mereka tamat Tingkatan Tiga kerana kedua-dua ibu bapa kami tidak mampu untuk membiayai persekolahan kesemua anak mereka.

Hanya saya dan lima orang adik yang masih bersekolah. Tahun ini saya akan menduduki peperiksaan SPM.“Saya bernasib baik untuk sampai ke Tingkatan Lima.

Semasa saya di Tingkatan Tiga dahulu, saya berjaya menjadi salah seorang daripada pelajar cemerlang di sekolah kami dan mendapat biasiswa yang membolehkan saya meneruskan pelajaran sehingga ke Tingkatan Lima.

Sekolah saya mendapat tiga guru cemerlang yang mengajar Tingkatan Tiga di Maktab Tentera Diraja ditugaskan untuk mengajar kami selama setahun. Dengan bantuan dan dedikasi guru cemerlang ini, saya dan beberapa rakan berjaya mendapat 8A.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai sebuah sekolah di pedalaman di tepi Sungai Rajang yang tidak mempunyai infrastruktur untuk membolehkan capaian internet, kami amat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana setiap dua kali seminggu sebuah bot khas yang dilengkapi dengan peralatan komputer, internet dan telefon satelit akan singgah ke sekolah kami.

Paling saya gembira kerana dapat belajar kelas matematik tambahan secara atas talian terus dengan Profesor Dr Tan Wang Seng.

Sebelum ini saya cuma membaca nama beliau pada buku teks kami sahaja. Dengan teknologi, hari ini saya berpeluang untuk belajar daripada orang yang menulis buku teks tersebut.Peluang

“Saya juga sangat beruntung kerana kami tidak dipaksa untuk memilih aliran atau jurusan. Sebaliknya kami diberi ruang dan peluang untuk belajar mata pelajaran yang kami minati.

“Semasa Covid-19 melanda negara baru-baru ini, saya dan adik-adik mengadakan kelas di rumah dengan belajar melalui radio.

Lima saluran khas disediakan bagi setiap tingkatan. Ini sangat mudah untuk kami yang tinggal di rumah panjang.

Buku kerja yang kami buat sebagai latihan disemak oleh pelajar di tingkatan yang lebih tinggi. “Walaupun tidak ada internet, tidak ada komputer, namun kami masih berpeluang untuk belajar.

Saya harap akan berjaya dalam peperiksaan SPM dan menjadi pelajar pertama dari kampung saya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.

Cita-cita saya adalah untuk menjadi seorang guru yang akan pulang membantu sekolah di kampung saya melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang yang dapat mengubah nasib dan keluar daripada kitaran kemiskinan.”

Apa yang boleh kita pelajari daripada catatan di atas? Pertama pelajar ini bercakap tentang akses kepada guru-guru yang berkualiti, melalui skim khidmat negara guru cemerlang.

Kedua, teknologi menjadi pemangkin untuk membolehkan pelajar di kawasan pedalaman turut berpeluang untuk belajar daripada penulis buku teks atau daripada guru-guru yang terbaik yang berada di sekolah lain.

Ketiga, penggunaan the right technology dalam konteks ini radio sebagai peranti yang menghubungkan pelajar dengan pendidik pada kos yang tidak membebankan. Keempat, pelajar bebas dan tidak dikongkong dengan aliran atau jurusan tertentu.

Kesemua yang saya sebutkan adalah contoh sebahagian daripada pendemokrasian dalam pendidikan.

Pada saya isu akses kepada pendidik yang cemerlang dan berkualiti tinggi adalah salah satu isu yang penting untuk kita laksanakan segera sekiranya belum dibuat dan teknologi boleh membantu kita melaksanakan perkara ini.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM