Cuaca panas sehingga hujung Mac ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Fenomena cuaca panas yang melanda bahagian barat negara dan negeri Sabah dijangka berterusan hingga hujung Mac ini.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, cuaca panas yang berlaku ketika ini adalah fenomena biasa yang melanda negara berikutan penghujung monsun timur laut.

"Lazimnya, ketika fasa akhir monsun timur laut ini, memang akan berlaku kenaikan suhu ekoran kekurangan hujan yang mana suhu yang dicatatkan sekarang adalah 34 hingga 36 darjah Celcius berbanding suhu biasa 32 hingga 34 darjah Celcius.

"Negeri di bahagian utara iaitu Perlis, Kedah dan di bahagian utara Perak mencatatkan suhu sehingga 37 darjah Celcius. Bagaimanapun, ia tidak berlaku setiap hari dan setakat ini kita tidak nampak (jangka) ia (suhu) akan sampai hingga 40 darjah Celcius di negeri-negeri tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Hisham berkata bagaimanapun fenomena cuaca panas itu tidak berlaku di negeri-negeri pantai timur dan Sarawak.

Menurutnya, taburan hujan yang dicatatkan di kebanyakan negeri yang terlibat pada bulan ini adalah rendah berbanding bulan lain.

"Bulan Februari ini memang taburan hujan yang dicatatkan sangat rendah terutamanya di negeri utara yang mana ada tempat yang langsung tidak menerima hujan. Kebanyakan negeri di utara mencatatkan hujan di bawah 50 milimeter (mm) dengan bilangan hari hujan yang dicatatkan hanyalah lima hari sebulan.

"Stesen Meteorologi Chuping sudah 27 hari tidak merekodkan hujan. Biasanya hujan yang dicatatkan adalah purata 15 hari sebulan. Di Lembah Klang pula purata hujan yang dicatatkan bulan ini adalah 150mm berbanding 300mm pada bulan lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Hisham berkata, suhu tinggi berlaku sekitar 2 hingga 4 petang di negeri barat manakala di Sabah adalah sekitar 1 tengah hari hingga 3 petang.

"Bagaimanapun, cuaca panas ini dijangka akan berakhir pada pertengahan peralihan monsun iaitu sekitar hujung Mac hingga Mei kerana ketika peralihan monsun, kadar hujan dijangka meningkat dan suhu dijangka beransur menurun," katanya.

Ditanya sama ada cuaca panas terjadi berikutan fenomena El Nino, Mohd Hisham berkata, fenomena itu tidak memberi impak yang signifikan kepada cuaca negara ketika ini.

"Sekarang ini adalah proses pembentukan El Nino. Bagaimanapun, El Nino yang dijangka berlaku adalah agak lemah dan kebarangkalian terjadi adalah 65 peratus. Impaknya kepada negara tidak signifikan kecuali di Sabah kerana negeri itu terletak berhampiran dengan Lautan Pasifik yang mana El Nino berlaku berikutan pemanasan suhu di Lautan Pasifik," katanya. - Bernama