Peningkatan jenayah seksual membimbangkan

No Image Caption
A
A
A

AKHBAR ini kelmarin mendedahkan bahawa banyak kes rogol berlaku disebabkan oleh elemen suka sama suka iaitu mangsa bersetuju melakukan seks atas dasar cinta.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berdasarkan rekod sejak tahun 2019 hingga Februari tahun ini, sebanyak 80 peratus kes rogol berlaku disebabkan perkara tersebut.

Majoriti suspek bagi kes rogol adalah terdiri daripada mereka yang dikenali sama ada teman lelaki, kenalan baharu atau seumpamanya.

Peningkatan kadar statistik jenayah ini membimbangkan masyarakat dan apakah faktor-faktor yang menyebabkan jenayah seksual ini berlaku?

Jika dilihat pada sikap dan pemikiran anak-anak remaja masa kini, seolah-olah mengundang jenayah rogol itu berlaku. Mereka begitu terbuka dan bebas dalam pergaulan.

Kemajuan teknologi seperti internet, media sosial dan pelbagai aplikasi seperti WhatsApp, Facebook serta Wechat mendedahkan remaja kepada jenayah seksual jika kemudahan ini digunakan dengan cara yang salah.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melaporkan kanak-kanak dan remaja adalah kumpulan majoriti pengguna Internet di negara ini iaitu kira-kira 14 peratus daripada 20.1 juta pengguna dan kebanyakan memiliki akaun Facebook.

Ada juga yang seolah-olah menjemput perogol contohnya menggunakan aplikasi sosial dengan ‘check-in’ lokasi dan memuat naik gambar yang boleh memberi rangsangan kepada lelaki.

Artikel Berkaitan:

Faktor tertentu seperti suasana persekitaran keluarga juga membuatkan remaja mudah terlibat dalam perhubungan seks bawah umur.

Banyak juga kes rogol yang dilaporkan berpunca daripada perasaan terlalu mempercayai pasangan mereka yang menyebabkan mangsa bersetuju untuk melakukan hubungan seks.

Justeru, ibu bapa dan anggota masyarakat perlu memberi perhatian terhadap anak gadis masing-masing supaya mereka tidak terlibat dalam pergaulan bebas yang boleh memberi kesan kepada masa depan anak mereka.

Di samping itu, berikan didikan agama yang mantap dan berterusan kepada anak-anak agar mereka terhindar daripada jenayah seksual ini.