UMNO Mersing tak tergugat

Mohd Youzaimi (tengah) bersama ketua UMNO cawangan dalam bahagian Mersing.
A
A

MERSING - Umno Bahagian Mersing tidak akan tergugat, sebaliknya akan tetap meneruskan khidmat bakti seperti biasa kepada rakyat dan ummah walaupun kedua-dua wakil rakyat yang mewakili parti itu keluar UMNO dan menyertai Bersatu.

Ketua Umno Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof berkata, beliau bersama Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian dan kesemua ahli jawatankuasa bahagian menzahirkan kesetiaan serta akan tetap setia bersama dengan UMNO.

"Tindakan sama ada wakil rakyat, ADUN Endau dan Ahli Parlimen Mersing ataupun ahli UMNO Mersing yang ingin meninggalkan parti keramat ini adalah hal peribadi masing-masing dan tidak bersangkut paut dengan kepimpinan bahagian.

"Umno Bahagian Mersing akan terus mengukuhkan kedudukan di peringkat akar umbi apabila UMNO peringkat cawangan akan mula bersidang bermula 15 Februari ini," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, persidangan cawangan kali ini akan digunakan sebaiknya untuk memastikan bahawa UMNO kekal relevan dan ahli-ahlinya akan kekal setia dengan perjuangan parti.

Tambahnya, UMNO Bahagian Mersing juga membuka ruang kepada ahli-ahli di peringkat cawangan untuk memberikan idea dan pandangan bagi mengukuhkan lagi UMNO bahagian itu.

"UMNO Bahagian Mersing juga akan meneruskan agenda utama perjuangan UMNO iaitu demi kelangsungan agama, bangsa dan tanah air untuk ummah di Mersing khasnya dan seluruh Malaysia amnya.

"Kita juga menyambut baik usaha yang dilakukan oleh UMNO Malaysia melalui agenda penyatuan ummah," katanya.

Jelasnya, UMNO Bahagian Mersing turut menyeru supaya wakil-wakil rakyat UMNO BN yang masih setia, sama ada di peringkat Dewan Negeri Johor mahupun Dewan Rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dengan aktif untuk membela rakyat.

Katanya, jadilah 'yang berhormat' pembangkang berkaliber dan laksanakanlah sistem dua parti ini dengan jayanya.

"Kita perlu meraikan demokrasi di Malaysia supaya nikmatnya dirasainya rakyat. UMNO Bahagian Mersing juga menyambut baik dan akan menyokong sepenuhnya usaha dan gerakan yang akan dilakukan oleh kepimpinan Majlis Tertinggi UMNO.

"Sama ada untuk menyaman kedua-dua wakil rakyat di Mersing yang telah melompat parti, atau apa-apa sahaja tindakan yang akan dilakukan kelak. Biarlah sejarah ini tidak lagi berulang di tempat lain ataupun pada masa yang akan datang.

"Kepimpinan UMNO Bahagian Mersing dan ahli-ahli UMNO Bahagian Mersing akan terus bermuafakat untuk memastikan ketiga-tiga kerusi akan kekal menjadi milik Umno dan BN, sama ada sekiranya berlaku pilihanraya kecil mahupun pada PRU15 akan datang," katanya.