Usaha transformasi APM diteruskan, tingkatkan kesiapsiagaan urus bencana

Majlis sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Malaysia Ke-69 tahun (HUTPA-69) serta perasmian bangunan baharu Ibu Pejabat APM di Ibu Pejabat Angkatan Petahanan Awam (APM) Sungai Merab Kajang hari ini. - Foto Bernama
Majlis sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Malaysia Ke-69 tahun (HUTPA-69) serta perasmian bangunan baharu Ibu Pejabat APM di Ibu Pejabat Angkatan Petahanan Awam (APM) Sungai Merab Kajang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Usaha mentransformasikan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan diteruskan bagi meningkatkan keterampilan dari segi persiapan pantas dan kelengkapan aset, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Beliau berkata, ini penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan anggota APM untuk mempertahankan keselamatan awam dan menghadapi bencana.

"APM akan berbincang dengan agensi lain sama ada kerjasama untuk mewujudkan ambulans udara dan keperluan hospital APM sekiranya kerajaan dapat memberi peruntukan," katanya pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun APM ke-69 yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Sungai Merab di sini pada Rabu.

Mohd Redzuan berkata, APM juga menyahut saranan kerajaan untuk pendigitalan bagi memantapkan pengoperasian APM yang membolehkan APM menjalankan tugasan dengan lebih efisien selain mengoptimumkan aset dan perbelanjaan kerajaan.

Mengenai cadangan penstrukturan semula jawatan tetap di pejabat negeri dan daerah, beliau berkata, penstrukturan itu bergantung pada anggota, aset serta mengambil kira negeri atau daerah yang sering dilanda bencana.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehormat APM berkata, penjawatan tetap APM setakat ini ialah seramai 1,265 orang, selain 50,000 sukarelawan aktif.

Beliau berkata penstrukturan semula perlu dilihat secara keseluruhan kerana pandemik Covid-19 telah menunjukkan kesiapsiagaan penting dalam pengurusan bencana.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut merasmikan bangunan baharu Ibu Pejabat APM dan menyerahkan 15 buah kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan APM. - Bernama

Artikel Berkaitan: